Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad membuat bayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hybrid berjumlah RM118,485 menggunakan sekeping cek pada sembilan tahun lalu.

Eksekutif Akaun di Sutera Auto Sdn. Bhd. Johor Bahru, Rozana Khalid mengakui terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kenderaan berwarna putih itu.

“Merujuk kepada resit bayaran Sutera Auto Sdn. Bhd. atas nama Shahrir berjumlah RM118,485. bertarikh 26 Disember 2013.

“Saya sahkan ini invois kenderaan atas nama Shahrir dan dokumen ini disediakan oleh Nurrul Hafizah Md. Roslan (Eksekutif Pentadbiran).

“Invois kenderaan ini disediakan selepas urusan pembayaran dan pendaftaran kenderaan telah selesai dibuat,” katanya yang berkhidmat 13 tahun di syarikat itu.

Rozana yang merupakan saksi ketujuh pendakwaan turut mengesahkan perakuan pendaftaran atas nama Shahrir di mana dokumen Perakuan Pendaftaran Kenderaan atau lebih dikenali sebagai geran  didaftarkan atas nama Shahrir.

“Ia dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Bahru,” katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berhubung maksud pembayaran tunai, Rozana berkata, terdapat tiga cara pembayaran tunai iaitu wang tunai, kad kredit dan cek.

Bagaimanapun, saksi itu memberitahu, kemungkinan untuk seseorang itu membeli kereta secara tunai hanya satu atau dua peratus sahaja.

“Kebiasaannya (membeli kereta) akan membuat loan (pinjaman) bank. Sebagai contoh daripada 50 unit kereta terjual mungkin dua atau tiga akan membeli secara tunai dan pembayaran itu sama ada itu wang tunai atau kad kredit,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir ada atau tidak pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memanggilnya untuk merakam percakapan selain menyerahkan sebarang dokumen berkaitan dengan kenderaan itu (Honda Civic) saksi itu menjawab ‘tidak’.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung  esok.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette