Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) memberi jaminan untuk mengheret mana-mana pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan di sebalik skandal kapal pesisir tempur (LCS) yang bernilai lebih RM9 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, ia bagi memastikan kapal-kapal tersebut diserahkan kepada pelanggan akhir iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Bagaimana kita boleh melihat ke hadapan untuk memastikan kapal-kapal yang dijanjikan sampai kepada TLDM.

“Mereka yang salah tetap dibawa ke muka pengadilan. Ini sesuatu yang telah pun mendapat keputusan Kabinet tempoh hari,” katanya dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

Pada Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion.

Menurut Kah Woh, BNS yang diberikan projek secara rundingan terus itu perlu menyiap dan menyerahkan lima unit kapal itu selewat-lewatnya Ogos ini.

Laporan PAC turut mendedahkan, Kementah tidak mengendahkan pandangan TLDM selaku pengguna akhir kerana kapal model Sigma yang dipilih telah ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

Hishammuddin menambah, pihaknya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PAC berhubung siasatan yang melibatkan dana awam lebih RM9 bilion walaupun beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diluluskan.

“Kerjasama kita kepada PAC secara sepenuhnya di mana kita telah berdepan dengan PAC lebih dari 15 hari bukan sahaja dalam konteks semasa saya Menhan.

“Perancangan kita ke hadapan dalam masa enam bulan, tiga bulan yang saya akan laporkan kepada Kabinet sedang rancak berjalan,” katanya.

Hishammuddin turut komited untuk memastikan isu kelewatan aset pertahanan negara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita cuba memastikan kapal kita sampai kepada TLDM, cara bagaimana kita dapat bela vendor-vendor dan veteran-veteran kita mendapat hasilnya.

“Saya tahu banyak kelemahan, saya pun kecewa, ramai juga kecewa tetapi kita mesti lihat ke hadapan dengan mencari keadilan memastikan kapal ini dapat dibekalkan kepada TLDM.

“Kita akan mencari jalan terbaik untuk memastikan ianya tidak berulang pada masa-masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette