Seorang pengamal perubatan tradisional, Che Hong Chiew dibawa anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan membunuh seorang wanita di Pandan Perdana pada 27 Julai lalu di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2022.

AMPANG – Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya pada bulan lalu.

Tertuduh, Che Hong Chiew, 51, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hong Chiew didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di sini antara pukul 4.45 petang hingga 5 petang pada 27 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya, Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam dengan tiada ikat jamin diberikan.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2022/07/28/wanita-ditemui-mati-semasa-terima-rawatan-tradisional/

Pada 28 Julai lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita maut dipercayai ketika mendapatkan rawatan di kediaman pengamal perubatan tradisional itu di Pandan Perdana.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 6.35 petang memaklumkan anaknya telah meninggal dunia.

Jelas Farouk, pihaknya menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan pengamal perubatan tradisional di tempat kejadian pada hari sama. – MalaysiaGazette