KUALA LUMPUR – Seorang wanita meninggal dunia dipercayai ketika mendapatkan rawatan di rumah seorang pengamal perubatan tradisional di Pandan Perdana dekat Ampang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 41 tahun itu telah pergi ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan sejak seminggu lalu.

“Pemeriksaan di rumah tersebut mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah berkenaan sebelum disahkan mati  oleh pegawai perubatan kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas kejadian dan laporan polis ibu mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan pengamal perubatan tradisional di tempat kejadian.

“Siasatan sedang dijalankan oleh polis dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Polis akan membawa suspek ke mahkamah hari ini untuk melaksanakan permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.-MalaysiaGazette