Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tengah) menyaksikan perjanjian persefahaman MoU di antara Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Mohd Nizom Sairi (kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Jabatan Imigrsen Malaysia (JIM) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 OGOS 2022.

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada hari menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama perkongsian maklumat antara kedua-dua agensi itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeteraian MoU itu MoU terpaksa ditangguhkan selama dua tahun berikutan penularan Covid-19.

“Objektif MoU pada hari ini membolehkan kerjasama perkongsian maklumat di antara JIM dan LHDN berkaitan data-data ekspatriat yang bekerja di negara ini iaitu nama, kewarganegaraan, nombor pasport, rekod keluar masuk Malaysia dan tarikh tempoh sah laku Pas jangka panjang.

“Maklumat berkenaan dikongsi atas talian dengan pihak LHDN membolehkan kita menangani masalah ketirisan cukai melibatkan ekspatriat yang bekerja di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemeteraian MoU tersebut.

Majlis menandatangani MoU itu, LHDB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizom Sairi manakala JIM diwakili  Khairul Dzaimee.

Khairul Dzaimee berkata, mekanisme perkongsian maklumat dalam talian telah dilaksanakan dengan cara penyerahan senarai data berenkripsi secara manual melalui Secured File Transfer Protocol (SFTP); atau melalui Application Program Interface (API).

“Secara ringkas, dengan adanya kerjasama ini, pihak imigresen boleh menghalang mana-mana ekspatriat yang tidak membayar cukai untuk keluar dari Malaysia dan pada masa yang sama ketirisan bayaran cukai oleh ekspatriat dapat dikurangkan dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara.

“Malah, dengan perkongsian maklumat ini juga, kami juga boleh beri perkhidmatan imigresen yang lebih berkesan kepada ekspatriat terutamanya bagi permohonan lanjutan pas kerana memiliki maklumat bayaran cukai dan pihak LHDN pula boleh membuat sasaran jumlah kutipan cukai berdasarkan bilangan ekspatriat yang berada di Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Khairul Dzaimee memberitahu, berdasarkan statistik LHDN, bagi tempoh 2014 hingga 2021 MoU itu dimeterai, sebanyak RM20.1 bilion cukai pendapatan dikutip daripada ekspatriat membabitkan seramai 162,170 orang. -MalaysiaGazette