KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada bulan Jun menurun kepada 3.8 peratus, terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus (637,700 orang) pada bulan Mei 2022.
Pencapaian pasaran buruh pada Jun 2022 adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa yang lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi negara dijangka terus berkembang tahun ini pada kadar yang disasarkan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.
Manakala trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah di sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021).
”Dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menggambarkan momentum pemulihan yang lebih baik dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka akan bergerak ke trend jangka panjang,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Mustapa menambah, permintaan terhadap buruh telah meningkat, sekali gus ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran.
”Pada Jun 2022, kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.57 juta orang (Mei 2022: 16.54 juta orang).
”Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal pada 69.5 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak bulan April 2022 iaitu kadar pengangguran di bawah 4 peratus berdasarkan definisi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Di samping itu, beberapa petunjuk utama ekonomi juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan, antaranya, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 43.4 peratus pada bulan Jun kepada nilai tertinggi baharu sebanyak RM270.4 bilion dengan eksport mencatat peningkatan sebanyak 38.8 peratus kepada
RM146.2 bilion.
Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 12.1 peratus pada bulan Jun 2022, tertinggi sejak Mei 2021, dengan semua komponen mencatat pertumbuhan positif.
Sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan masing-masing mencatatkan peningkatan 14.5 peratus, 14.1 peratus dan 2.1 peratus dan nilai jualan sektor pembuatan pada bulan Jun 2022 meningkat sebanyak 23.4 peratus, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2021 dengan merekodkan nilai jualan sebanyak RM153.5 bilion.
Pencapaian ini dipacu terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik yang meningkat sebanyak 25.4 peratus..
Tambah Mustapa, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus pada Jun 2022 kepada 15.94 juta orang (Mei 2022: 15.90 juta orang).
Bilangan penduduk bekerja bagi semua sektor ekonomi terus mengukuh pada bulan tersebut kecuali bagi sektor perlombongan & pengkuarian.
Peningkatan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan adalah dipacu oleh aktiviti perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan. – MalaysiaGazette