Penyelidik IPB, Dr Nurul Elyani memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada warga KVLD.

KOTA KINABALU – Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Projek Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Project) kepada Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), baru-baru ini.

Pengarah IPB UMS, Prof. Dr. Lee Ping Chin berkata, inovasi tersebut terdiri daripada projek penghasilan media penanaman berasaskan Azolla Peat, dan inovasi bahan tambahan dari bahan buangan kelapa sawit (palm kernel cake) dalam makanan haiwan ternakan.

”Dua lagi pemindahan ilmu yang dilakukan adalah inovasi penghasilan baja bio (biofertilizer) dari bahan buangan rumpai laut, dan inovasi kombucha pellicle sebagai suplemen probiotik untuk makanan haiwan ternakan.

”Projek ini melibatkan tujuh warga IPB yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan sokongan dan pentadbiran serta pelajar pascasiswazah,” katanya.

Menurutnya, projek pemindahan ilmu itu berlangsung selama dua hari melibatkan 15 pensyarah dan pelajar KVLD.

Warga IPB juga telah membantu KVLD dalam memberikan nasihat dan saranan dalam projek inovasi penghasilan Mini Plant Factory.

Bagi penghasilan media penanaman berasaskan Azzola Peat, Palm Kernel Cake dan Mini Plant Factory, ia dilaksanakan di bawah seliaan dan pembiayaan projek Dana Inovasi Sekolah IPB dengan diketuai oleh Pensyarah Kanan, Dr. Cahyo Budiman.

Idea asal bagi ketiga-tiga projek ini adalah diilhamkan warga KVLD, yang kemudian ditambah baik oleh penyelidik IPB, jelas Ping Chin.

Ujar beliau, penyelidik IPB juga melakukan pemindahan ilmu dan teknologi melalui aplikasi dan perkongsian mikroorganisma yang digunakan untuk mengoptimumkan produk inovasi berkenaan.

”IPB akan sentiasa bergiat aktif dalam program-program pemindahan ilmu seumpama ini ke arah meningkatkan keterlihatan dan pembudayaan bidang bioteknologi kepada masyarakat di Sabah.

”Pada projek kali ini, ia juga dilihat mampu meningkatkan lagi minat pelajar KVLD mendalami bidang sains dan teknologi khususnya dalam bidang bioteknologi.

”Sudah tentu usaha sebegini tidak akan terhenti di sini, tetapi IPB dan KVLD akan saling berkerjasama dalam pelbagai lagi aktiviti lain pada masa akan datang,” kata Ping Chin. – MalaysiaGazette