Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana warga asing boleh menyewa rumah mampu milik yang sepatutnya diduduki warga tempatan.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali menegaskan, pendedahan oleh seorang pengurus Property Guru, Teo Hock Thor sangat mengejutkan dan NGO itu mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Katanya, siasatan perlu dilakukan untuk mengetahui berlaku salah guna kuasa atau sikap membiarkan warga asing menyewa kediaman berkenaan.

“Ia bukan lagi tanggungjawab agensi kerajaan berkaitan setelah dijual kepada pembeli pertama untuk tempoh tertentu dan pendedahan ini sungguh mengejutkan.

“Patutlah sekarang ini rumah mampu milik yang sudah berusia 20 hingga 30 tahun harganya bukan sahaja tidak mampu lagi dibeli oleh golongan B40, malah M40 juga tidak mampu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, membeli dengan harga menarik membuatkan tuan rumah tidak berfikir dua kali dan terus menjualnya.

Oleh itu, rumah berkenaan jatuh kepada orang tengah atau ejen hartanah menguasai beberapa unit kediaman murah dan memberi sewa kepada warga asing, menyebabkan B40 tidak dapat memilikinya.

“Ejen hartanah tidak bimbang jika tiada yang mampu membelinya, kerana mereka menjadikan rumah tersebut sebagai hostel atau rumah sewa kepada pekerja asing.

“Perkasa mahu pihak berkuasa membuat penyiasatan dengan telus berhubung isu ini. Apakah perlu undang-undang jual beli atau tukar milik rumah mampu diperketatkan? Jika perlu Perkasa menyokong penuh tindakan itu.

“Antara peraturan yang wajib dikuatkuasakan adalah melarang sama sekali warga asing menyewa rumah mampu milik dan kediaman ini mesti bebas dari warga asing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast