Pengunjung tertarik untuk melihat dengan lebih dekat spesies lembu sado yang dibawa sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2022.

SERDANG – Pokjak dan Puteh. Dengar macam lembu biasa namun kedua-dua haiwan ini merupakan lembu ‘Sado’ atau lembu jantan hibrid yang dibawa khas daripada Kelantan khusus untuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kali ini.

Menurut pemilik kepada Puteh dan Pokjak, Armizan Mohd, kedua-dua ekor lembu sado itu merupakan baka Chariolais dan Limousin yang boleh didapati di New Zealand mahupun Brazil.

Pengunjung tertarik untuk melihat dengan lebih dekat spesies lembu sado yang dibawa sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2022.

“Benih dia dapat daripada Jabatan Veterinar yang bagi kepada penternak dan melalui pemanian berhadas. Saya sudah 20 tahun memelihara lembu dan pakar.

“Hidup dia sama macam lembu biasa tapi dari segi keuntungan lebih lagi kepada lembu hibrid kerana dalam satu tahun dia sudah boleh dijual. Harga boleh jual antara RM10,000 seekor,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pemilik, Armizan Mohd memeriksa keadaan spesies lembu sado miliknya yang dibawa sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2022.

Armizan berkata, harga bagi seekor lembu sado itu boleh mencecah RM25,000 kerana mempunyai daging yang banyak.

“Kalau macam Putih ini sudah empat tahun maka boleh jual sehingga RM25,000 seekor, biasanya jual untuk korban. Lembu ini berat hampir 900 kilogram,” katanya.

Armizan berkata, baka Chariolais dan Limousin tidak mempunyai masalah untuk diternak di negara ini kerana permakanan dan penjagaan yang lebih kurang sama seperti lembu tempatan.

“Penjagaan dia sama seperti lembu biasa malah makanan pun sama macam lembu biasa. Sehari dalam 10 kilogram dedak kita beri dan lima hingga enam kilogram rumput kering,” ujarnya.

Mesra dan manja, kedua-duanya nyata menarik minat pengunjung-pengunjung MAHA2022.

Rata-rata orang ramai termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk memegang malah turut menunggang haiwan besar ini.

Salah seorang pengunjung, Nazri Mohd Nasir, 57, beliau memang teruja melihat lembu sado  kerana tidak biasa melihat lembu sebesar itu.

Zari Mohd Nasir

“Ini kalau sampai 900 kilogram memang jarang kita dapat lihat, saya datang MAHA2022 hanya nak melihat lembu sebab sudah lama tidak hadir,” katanya.

Teruja dengan lembu jinak ini, Faris Raanin, 26, pula mengajak orang ramai untuk berkunjung ke pameran MAHA 2022 untuk memegang sendiri lembu sado yang dipamerkan di sini.

Faris Raanin

“Biasa kita tengok lembu kecil dan kursus sahaja tapi yang ini lain, besar sangat.

“Saya sarankan kepada orang ramai untuk lihat, sebab dekat pasar malam atau tempat-tempat lain memang tak ada,” katanya. – MalaysiaGazette