Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 yang memperuntukan larangan Ahli Dewan Rakyat (ADUN) bertukar parti telah diluluskan di Dewan Negara semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu lulus dengan undian majoriti 52 Ahli Dewan Negara yang bersetuju dan tujuh tidak hadir.

Sebagai tindakan susulan, katanya, Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

“Seterusnya, perintah kuatkuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuatkuasa mengikut Fasal 1 RUU itu.

“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, pemakluman itu adalah untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Kata Wan Junaidi, pindaan itu juga membolehkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jelas beliau, ini adalah untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan berharap semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan ini supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan penyeragaman sistem boleh dicapai bukan sahaja di peringkat Persekutuan, bahkan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette