Seorang bergelar Datuk Seri yang berusia 46 tahun merupakan antara 25 individu ditahan dalam serbuan ke atas parti liar di sebuah rumah banglo Janda Baik, Bentong kira-kira jam 1 pagi tadi.

KUANTAN – Seorang bergelar Datuk Seri yang berusia 46 tahun merupakan antara 25 individu ditahan dalam serbuan ke atas parti liar di sebuah rumah banglo Janda Baik, Bentong kira-kira jam 1 pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya membuat serbuan terbabit hasil maklumat diterima dari orang awam dan berjaya menahan seramai 17 warga tempatan dan lapan warga asing.

“Dalam serbuan dan pemeriksaan tersebut, polis turut merampas dadah dipercayai jenis ketamin seberat 2.18 gram dan pil ecstacy seberat 1.43 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zaiham, kesemua suspek yang ditahan membabitkan 15 lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 64 tahun.

Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah banglo berkenaan disewa dengan kadar RM15,000 sebulan.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kesemua 25 mereka positif dadah dan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 14 Ogos depan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun. – MalaysiaGazette