Kota Tinggi Srikandi Bersatu molest sexual harassment ADUN state Assemblyman
sekumpulan pemandu trak tunda yang berkumpul sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas seperti tular sejak semalam sedang dikesan polis membantu siasatan..- Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menyelamatkan enam orang warga asing termasuk tiga wanita yang telah dijadikan buruh paksa di sebuah kilang simen oleh satu sindiket pemerdagangan manusia di Klang baru-baru ini.

Malah empat suspek termasuk dua wanita yang disyaki menjadi ejen tengah pemerdagangan manusia itu juga berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada Ogos tahun 2022, Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah menjalankan satu risikan dan operasi melibatkan eksploitasi buruh paksa yang aktif di kawasan Klang.

Hasil dari risikan dan siasatan dalam operasi berjaya mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan (vulnerable) terdedah kepada jenayah pemerdagangan orang yang melibatkan pekerja asing.

“Berdasarkan hasil risikan yang diperoleh itu, pada 9 Ogos lalu Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Senior Asisren Komisioner Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menjalankan operasi melibatkan eksploitasi buruh paksa di kawasan Kampung Sungai Udang.

“Semasa serbuan dijalankan, polis berjaya menangkap empat orang suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga yang salah satunya warga asing dalam lingkungan umur 38 hingga 43 tahun yang merupakan ejen pekerjaan.

“Hasil pemeriksaan polis turut merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM13,600 yang dipercayai gaji pekerja,” katanya dalam kenyataan kejayaan hari ini.

Jelas beliau, dalam operasi berkenaan, mangsa melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita warganegara asing telah diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun.

Siasatan yang telah dijalankan menunjukkan kesemua mangsa dieksploitasi kerja di sebuah kilang simen oleh ejen pekerjaan yang menguruskan pekerjaan dan mengawal pembayaran gaji kepada kesemua mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa sebenarnya telah dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji yang lumayan semasa berada di negara asal oleh agensi pekerjaan itu.

“Selepas mereka tiba di Malaysia, kos perjalanan dan pasport telah dipotong dari gaji setiap bulan manakala pasport kesemua mangsa diipegang oleh ejen dan mereka tiada permit kerja yang sah.

“Mereka juga dipaksa kerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan pasport,” katanya.

Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966.

Tegas beliau, keempat-empat suspek telah dihadapkan di Majistret Mahkamah Klang yang kemudian direman selama enam hari iaitu sehingga 15 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Beliau juga memaklumkan polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh masa yang terdekat. – MalaysiaGazette