Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar rakyat di negara ini meluat dengan amalan politiking keterlaluan yang berlaku di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, manifestasi kemarahan rakyat itu dapat dilihat melalui peratusan keluar mengundi yang rendah dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau menjelaskan, PRN Melaka menyaksikan 64.8 peratus sahaja keluar mengundi manakala 58 peratus di Johor dan 64 peratus di Sarawak.

“Apa maknanya? Masyarakat jelak dengan demokrasi yang dirobek, dipermain-mainkan,” katanya pada program Bicara Nasional bertajuk ‘Senario Politik Semasa di Malaysia’ di Auditorium Rasydan Baba, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini hari ini.

Program yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Zaid Ahmad dari UPM itu turut disertai dua ahli panel lain iaitu pensyarah UPM, Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman.

Walau bagaimanapun, Raduan berpandangan, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang bertujuan mengekang amalan lompat parti berupaya mengubah mentaliti rakyat.

Beliau menambah, situasi politik yang tidak begitu stabil selepas PRU-14 telah memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara sehingga menyebabkan para pelabur rasa tidak selamat.

“Kalau saya pelabur, ingat saya nak datang? Kerajaan bertukar, dasar-dasar bertukar, kestabilan itu tak ada,” jelasnya.

Sehubungan itu, Raduan berharap agar kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU-15 adalah kukuh dan bertanggungjawab dalam memenuhi kehendak rakyat yang mahukan pembangunan dan kehidupan yang selesa.

Beliau juga percaya semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) telah menerima pengajaran yang pahit di mana mereka sepatutnya melakukan apa yang dikehendaki oleh rakyat.

“BN yang pernah memerintah lebih 60 tahun telah belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan,” katanya.

Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan dalam program Bicara Nasional bertajuk ‘Senario Politik Semasa di Malaysia’ di Auditorium Rasydan Baba, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini. Foto: MUHD NA’IM

Sementara itu, Jayum berkata, struktur sistem politik di negara ini akan memastikan orang Melayu kekal berkuasa dan Perdana Menteri dilantik daripada kaum tersebut.

Menurut beliau, daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, sebanyak 125 kerusi terletak di kawasan majoriti Melayu.

“Perdana Menteri akan kekal orang Melayu dari Semenanjung. Cuma Melayu mana satu? Melayu UMNO, Bersatu atau PKR tetapi tak mungkin Melayu DAP,” jelasnya.

Jayum turut berpendapat, keputusan PRN Melaka dan Johor boleh dianggap mewakili unjuran di negeri-negeri majoriti pengundi Melayu yang lain seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette