Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hairan dengan sikap penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak faham bahawa projek kapal tempur pesisir (LCS) dihentikan semasa kerajaan PH memerintah.

Beliau sekali lagi menegaskan, tuduhan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa projek tersebut terhenti pada April lalu adalah berunsur fitnah.

Jelas Najib, perkara tersebut telah ‘diakui’ oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong kerana mereka berdua pernah merasmikan dan meninjau projek tersebut.

“Benda ‘simple’ ini pun tak faham? Atau sengaja nak tipu orang?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sebelum ini, Najib pernah menjelaskan, LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepatutnya siap dan diserah pada April 2019 seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

Namun, kerajaan PH memutuskan melaksanakan forensik audit terhadap projek LCS beberapa hari selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 30 Mei 2018.

Beliau menambah, media juga pernah melaporkan projek LCS disambung semula oleh kerajaan sedia ada pada Mei lalu.

“Susah sangat ke untuk mengaku bahawa projek LCS dihentikan sepenuhnya ketika kerajaan PH memerintah?” soalnya. – MalaysiaGazette