Home Utama Ibu tunggal mengaku bersalah muat naik hantaran hina agama Islam

Ibu tunggal mengaku bersalah muat naik hantaran hina agama Islam

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal dijatuhkan hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghina solat hajat dengan memuat naik hantaran menghina agama Islam dalam laman Facebook dua tahun lalu.

Hukuman denda tersebut dijatuhkan oleh Hakim Nor Hasniah Ab. Razak terhadap Orang Kena Saman itu dengan memerintahnya menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hong Jia Ming, 34, yang merupakan perunding syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Nor Hasniah.

Mengikut fakta kes, Jia Ming pada 12 Mac 2020 jam lebih kurang 9.22 malam melalui perkhidmatan aplikasi laman web profil Joyceanne Hong secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya iaitu How Many idiots got brain damage thinking their gatherings prayers will keep them away from Covid-19 dengan perkataan “so Stupid”, “Support them” di dalam kotak undian dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang kemudian telah dibaca pada 13 Mac 2020 jam lebih kurang 12.41 tengahari di Masjid Muadz Jabal di Wangsa Maju oleh pengadu yang menerima hantaran mesej berkaitan hantaran jelik itu dalam kumpulan WhatsApp tempat kerjanya.

Wanita itu didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahannya, OKS boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

OKS sambil mengangguk kepala memahami caj pertuduhan mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang yang mencadangkan mahkamah agar satu hukuman setimpal dijatuhkan ke atas wanita itu.

Peguambela yang mewakili Jia Ming, Haijan Omar berhujah agar mahkamah mempertimbangkan satu hukuman yang minimum dengan mengambil kira status OKS sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak lelaki berusia sembilan tahun dan mempunyai penyakit jantung dan bekerja sebagai perunding swasta berpendapatan RM12,000 sebulan.

“Dalam kes ini hantaran yang dibuat OKS di Facebook hanya bersifat sementara yang berlarutan selama 24 jam sahaja manakala ia bukan untuk tatapan umum sebaliknya hanya untuk tatapan kawan-kawan kenalan sahaja yang hanya berniat untuk menghentikan penularan Covid-19 dan tidak berniat jahat atau jelik.

“Oleh kerana anak guam saya juga mengaku bersalah dan sangat kesal dengan perbuatan itu, saya dengan penuh rendah diri merayu mahkamah agar mempertimbangkan satu bentuk hukuman bon kelakuan baik di bawah Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah dengan mengambil kira kerja amal kemasyarakatan yang dilakukan oleh OKS selain pernah menerima sijil perakuan warganegara berkelakuan baik oleh Kementerian Luar.

“Jika mahkamah tidak bersetuju dengan cadangan bon kelakuan baik yang saya cadangkan, maka saya menyeru agar mempertimbangkan satu denda minima kenakan ke atas OKS,” katanya.

Dalam pada itu Jia Ming ketika diberi peluang merayu memberitahu mahkamah bahawa dia menyesal dengan perbuatan tersebut dan mengakui pandangannya di laman Facebook telah mencetuskan salah faham dan menyinggung perasaan bekas rakan sekerjanya.

“Saya telah belajar satu pengajaran daripada perbuatan saya ini dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam meluahkan pandangan di masa hadapan,” rayu OKS.

Bagaimanapun, Najihah yang membantah permohonan bon kelakuan baik berkata, satu hukuman yang sesuai dan setimpal terhadap wanita itu perlu dikenakan dengan ambil kira faktor hantaran yang dibuat Jia Ming adalah jelik, benar dan menyakitkan hati orang lain walaupun ia adalah hantaran Facebook.

“Malahan, Bahagian kotak undian “So Stupid atau Support Them” telah mendapat sambutan dalam kalangan rakan Facebook, manakala peratusan sambutan 83 peratus untuk undian “So Stupid” juga terkandung dalam data Facebook tersebut.

“Hantaran jelik itu juga telah ditangkap layar dan tular dalam group WhatsApp bekas syarikat OKS bekerja dan ternyata perbuatan OKS mencabuli hak kebebasan bersuara seperti mana diperuntukkan untuk setiap warganegara Malaysia selain ia juga boleh mengganggu keharmonian amalan beragama di negara ini dengan mengambil kira negara ini adalah unik dan mempunyai latar belakang agama majmuk dalam kalangan penduduknya.

“Oleh demikian mohon satu hukuman yang boleh memberikan pengajaran bukan hanya kepada OKS tetapi juga kepada orang awam secara keseluruhannya untuk tidak membuat sebarang hantaran di media sosial yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan di negara ini.

“Tambahan saya bantah permohonan peguambela OKS bon kelakuan baik mengikut Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah kerana tidak memberikan sebarang faktor istimewa yang boleh dipertimbangkan oleh mahkamah untuk rayuan bon kelakuan baik,” ujarnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nor Hasniah menjatuh hukuman denda RM8,000 ke atas Jia Ming atau  menjalani penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette