Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki cedera di badan dan tangan dalam kejadian pergaduhan di gelanggang futsal di Tasik Tambahan, Ampang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam lebih 5 petang, pelajar sekolah berusia 17 tahun itu telah ditumbuk oleh suspek seusianya dengan menggunakan senjata ‘buku lima’.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakan sekolah bermain futsal dengan satu kumpulan dari sekolah yang lain.

“Semasa permainan, mangsa melihat salah seorang pemain dari pasukan lawan membuat serangan di bahagian kaki menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka yang kemudian tiba-tiba bertukar kepada pergaduhan sesama mereka.

“Suspek yang juga rakan kepada pemain itu kemudian menghampiri mangsa sambil memegang buku lima, lalu menumbuk bahagian rusuk kiri dan siku mangsa,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek sama juga dikatakan cuba menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik segera oleh mangsa.

Menurut Mohamad Farouk, bertindak atas laporan polis mangsa, sepasukan polis ke lokasi dan menahan suspek lelaki serta merampas rantai basikal yang diubah suai sebagai senjata.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih bersekolah.

“Siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah disebabkan tidak berpuas hati kerana menendang kaki semasa bermain futsal,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette