Rumah pusaka keluarga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Hairul Amin Madon musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Mat Zin, Kilometer 18, Kampung Serkam Bukit, Merlimau di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

JASIN – Rumah pusaka keluarga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Hairul Amin Madon musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Mat Zin, Kilometer 18, Kampung Serkam Bukit, Merlimau di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, rumah terbabit adalah kediaman milik ibu Hairul Amin.

Bagaimanapun, ibunya tiada di rumah terbabit ketika kejadian dan hanya abangnya Mohd Raffe, 47 berada di dalam rumah dan sempat menyelamatkan diri.

Komander Operasi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I, Dzulkarnain Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.19 pagi sebelum tiba sembilan minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak dua buah jentera dari BBP Merlimau dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 12 anggota bersama sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang berkeluasan 40 x 40 kaki persegi terbakar 60 peratus.

“Ketika kejadian terdapat seorang mangsa berusia 47 tahun di dalam rumah namun mangsa sempat berlari menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rumah pusaka keluarga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Hairul Amin Madon musnah dalam kebakaran
di Jalan Haji Mat Zin, Kilometer 18, Kampung Serkam Bukit, Merlimau di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, turut musnah dalam kejadian itu adalah sebuah kereta dan tiga buah motosikal.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi terkawal pada jam 12.12 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Mohd Raffe ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi letupan daripada kotak meter elektrik rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu.

“Kejadian berlaku begitu pantas mengakibatkan meter elektrik itu terbakar dan saya terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Api yang begitu cepat marak menyebabkan ruang tamu rumah paling teruk terjejas dan tidak mampu menyelamatkan apa-apa barang berharga termasuk dokumen peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette.