GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkenaan membuang tanggapan zoo sebagai tarikan pelancong sekali gus menghentikan pembinaan lebih banyak zoo dalam negara.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak terbabit perlu memberi tumpuan kepada penambahbaikan zoo sedia ada yang tidak memenuhi syarat bagi memastikan ia memenuhi standard perumahan, penternakan, kebajikan dan kesihatan yang tepat kepada semua penghuni dalam kurungan.
Jelas beliau, penjagaan yang betul terhadap haiwan di situ, sama sekali tidak diketahui menyebabkan ia mengalami penderitaan yang teruk.
“Walaupun mereka mengaku amat prihatin terhadap haiwan, zoo boleh digambarkan dengan lebih tepat sebagai ‘pengumpul’ haiwan yang menarik berbanding sebagai tempat perlindungan atau rumah sebenar.
“Malah, zoo berbangga dengan koleksi beberapa spesies eksotik tanpa memikirkan ruang yang sering kali tidak mencukupi dan serba kekurangan dalam kebanyakan penubuhan pusat seperti itu,” katanya mengulas cadangan pembinaan zoo baharu di atas tanah seluas 20.2 hektar di Iskandar Puteri, Johor, susulan Zoo Johor di Jalan Gertak Merah dihentikan operasi sementara sejak 18 Oktober 2020.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, zoo dibina bagi keselesaan pengunjung dan bukannya untuk keselesaan haiwan malah haiwan yang diletakkan dalam persekitaran tidak sesuai bagi sesuatu spesies boleh menyebabkan masalah tekanan dan tingkah laku.
“Haiwan dalam kurungan di zoo akan mengalami sindrom zoochosis akibat penyingkiran ini daripada habitat semula jadinya, kekecewaan, kebosanan selain kekurangan kehidupan dalam kumpulan sosial biasa dan tingkah laku stereotaip yang lain.
“Perkara yang perlu ditekankan ialah semua penubuhan zoologi iaitu zoo mini, taman ular, taman burung, ladang ular dan taman rama-rama, piawaian kebajikan haiwan hampir tidak dipenuhi dan sering mendapat kritikan daripada orang ramai.
“Terdapat lebih 14 zoo dan 20 pusat pameran hidupan liar kekal di Semenanjung Malaysia dan kini satu lagi akan dibuka, cukup-cukuplah,” tegasnya. – MalaysiaGazette