pengkid ihram
Tangkap layar video tular memaparkan seorang individu didakwa wanita yang berpakaian ihram lelaki ketika mengerjakan umrah di tanah suci Mekah.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap seorang wanita yang didakwa berpakaian ihram lelaki ketika mengerjakan umrah di tanah suci Mekah baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Idris Ahmad berkata, beliau mengambil berat tentang perkara yang tular itu kerana ia melibatkan hukum-hakam agama.

“Pihak saya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memohon pihak KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti.

“Saya juga telah menghubungi pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, malam ini.

Video wanita terbabit berpakaian ihram lelaki memaparkan dia berjalan ke arah Raudhah tular dalam Twitter sejak semalam.

Seorang pengguna Twitter mengesahkan individu dalam video berkenaan adalah seorang wanita dan bekas pekerjanya. – MalaysiaGazette