JOHOR BAHRU – Wabak urban malaria yang berlaku di Pulau Pinang ketika ini masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati ia bukan berpunca daripada pekerja tempatan.
“Saya lihat masalah atau penyakit urban malaria ini masih terkawal lagi.
“Tetapi suka untuk saya maklumkan penyakit itu juga kita dapati yang dibawa masuk ini bukan daripada tempatan.
“Oleh itu apa yang perlu kita lakukan ialah saringan kesihatan sebelum kita bawa masuk pekerja dari di luar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jelajah Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Johor 2022 di Bandar Dato Onn, di sini, hari ini.
Jelasnya, walaupun tiada sebarang rekod kematian dicatatkan pihak majikan harus memastikan pekerja asing yang diambil perlu melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut dasar yang telah ditetapkan.
“Jadi kebanyakan malaria yang dibawa masuk adalah malaria dari Afrika dan saringan kesihatan itu amat penting untuk kita kenal pasti diperingkat awalnya,” katanya.
Semalam media melaporkan Pulau Pinang berhadapan dengan urban malaria berikutan kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi yang tidak diketahui status kesihatan mereka. -MalaysiaGazette