LUMUT – Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) hari ini membuktikan kapal tempur pesisir (LCS) bukan halimunan, bahkan aset pertahanan negara itu masih dalam pembinaan dan kini berada di Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini.

Keberadaan kapal itu bukan sekadar kenyataan media semata-mata, bahkan MalaysiaGazette bersama puluhan petugas media lain dibawa meninjau keadaan fizikal kapal perang itu yang menjadi kontroversi sejak awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BNS, Kapten (B) Ir Azhar Jumaat berkata, dakwaan kapal perang itu diperbuat daripada kayu dan replika tidak betul.

“Ini (kapal) versi sebenar (LCS), (diperbuat daripada) besi sebenar, ia bukan diperbuat daripada kayu, ia bukan replika, ia kapal sebenar.

“Selepas ini saya akan bawa anda semua (petugas media) ke atas kapal, boleh tengok apa yang ada dalam kapal.

“Ada pihak mengatakan bahawa dalam kapal tiada apa-apa, kosong, semua ini hanya dakwaan cuba mengelirukan fakta,” katanya ketika memberi taklimat kepada lebih 40 wakil agensi media di Pangkalan Markas TLDM, di sini, hari ini.

Pintu masuk ke Boustead Naval Shipyard (BNS) tempat pembinaan kapal Tempur Pesisir (LCS) ketika di Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

Pada 4 Ogos lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh melalui laporan jawatankuasa Parlimen itu mendedahkan, BNS masih gagal menyerahkan sebarang satu aset TLDM itu kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion.

Kah Woh berkata, BNS yang diberikan projek itu secara rundingan terus perlu menyiap dan menyerahkan lima unit kapal itu, selewat-lewatnya Ogos ini.

Menurut laporan PAC, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) sebelum ini juga tidak mengendahkan pandangan TLDM selaku pengguna akhir susulan pertukaran reka bentuk kapal jenis Sigma kepada GOWIND pada 11 Julai 2011.

Dalam pada itu, Azhar juga melahirkan rasa kesal apabila ada sesetengah pihak bukan sahaja melempar tohmahan bahkan mengelirukan pihak Istana Perak dengan dakwaan tidak berasas itu.

“Sultan Perak Sultan Nazrin Shah juga dikelirukan. Semua itu (halimunan) tidak betul, tidak tepat.

“Apa yang kita lihat di sini adalah kapal nombor satu, di sebelah sana kapal dua dan kapal tiga….kapal keempat pula di sebelah belakang.

“Saya ingin menyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada RM6 bilion sebenarnya digunakan sepenuhnya daripada perolehan kerajaan

“Sebenarnya wang itu (RM6.08 bilion) tidak habis untuk perkara lain,” katanya. – MalaysiaGazette