asyraf wajdi dusuki pasca banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana langkah itu bukan sahaja menambah bebanan peminjam, malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, tindakan menaikkan OPR juga bertentangan dengan objektif yang mahu dicapai dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid.

Menurut beliau, dari segi teori, alasan OPR dinaikkan adalah untuk menurunkan kadar inflasi dengan cara memperlahankan aktiviti ekonomi kerana ia mencetuskan ‘kemelesetan sederhana’.

Dengan menaikkan OPR, sebagaimana teori monetari konvensional, BNM berharap agar sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan disamping meningkatkan kadar simpanan.

”Tetapi dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman, bukannya menerusi peningkatan kadar tabungan.

”Namun, oleh kerana kenaikan kadar inflasi yang berlaku bukanlah berpunca daripada lebihan permintaan sebaliknya akibat permasalahn berkaitan ‘supply side disruption’ (gangguan bahagian bekalandan) dan ‘energy supply shock’ (kejutan bekalan tenaga) kerana perang di Ukraine, maka kenaikan OPR tidak akan berjaya menurunkan kadar inflasi,” jelas beliau.

Ini jelas terbukti apabila Amerika Syarikat sendiri gagal menangani masalah inflasi yang jauh lebih tinggi di negara itu walaupun kadar bunga dinaikkan.

Katanya, tindakan kerajaan tidak meningkatkan harga bahan api serta mengekalkan tarifelektrik terbukti lebih berjaya mengawal kadar inflasi daripada naik terlalu tinggi seperti yang berlaku di negara lain.

Dan, kejayaan ini tidak ada kena mengena dengan peningkatan OPR, jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Asyraf menambah, dalam keadaan ekonomi domestik negara ini masih belum pulih sepenuhnya, maka tambahan bebanan kewangan ke atas peminjam akibat kenaikan OPR berkemungkinan besar akan menjerumuskan lebih ramai orang kepada masalah insolvensi.

Bukan itu sahaja, malah pengurangan tingkat perbelanjaan dalam ekonomi yang diharapkan kesan kenaikan OPR turut akan mengganggu proses pemulihan ekonomi domestik pasca Covid yang sedang direncanakan.

Menurutnya, kenaikan OPR hanya akan memberi kelebihan kepada sektor perbankan sahaja sedangkan sektor perniagaan lain terutamanya perusahaan kecil dan sederhana masih terjejas, termasuklah sektor pekerjaan yang tidak menentu.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk sektor perbankan membuat keuntungan besar.

”Keuntungan besar yang bakal diperolehi sektor perbankan akibat kenaikan OPR ini tiada kena mengena dengan usaha produktif sektor tersebut, sebaliknya merupakan keuntungan terpijak akibat perubahan Dasar Monetari dibuat BNM.

”Lebihan keuntungan yang didapati secara tidak produktif seperti ini wajar dikategorikan sebagai Rentier Income (pendapatan penyewa) kerana ianya bukan sahaja tidak menyumbang apa-apa kepada pertumbuhan produktiviti, malah boleh mengganggu proses pemulihan ekonomi.

”Dengan itu maka Pemuda UMNO menyarankan agar BNM tidak lagi meningkatkan OPR kerana tindakan itu bukan hanya membebankan peminjam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Naik kan bunga…lepas tu berharap peminjam tingkatkan simpanan? Dah pendapatan berkurang, nak simpan apa? Makan pun tak lepas! Kerajaan biar kan jer BNM bermaharaja lela? Kesan dia kerajaan juga akan dibenci oleh rakyat…Kerajaan yg akan masuk PRU bukan BNM..jgn lupa tu…

Comments are closed.