Onn Hafiz sempat meluangkan masa bersama mangsa ribut penduduk Flat Taman Johor Jaya yang kini ditempatkan di PPS dewan Johor Jaya, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU -Kerajaan negeri Johor menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa ribut yang terjejas selepas bumbung flat Ros Merah di Taman Johor Jaya, di sini, diterbangkan angin kencang, semalam.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat mangsa ribut itu berkata, bantuan membaik pulih bumbung flat terbabit akan disegerakan.

“Sedih melihat keadaan flat mangsa ribut di Ros Merah, Taman Johor Jaya hari ini. Ekoran kerosakan teruk pada flat tu, kesemua mangsa kini ditempatkan kami tempatkan  di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan.

Onn Hafiz sempat meluangkan masa bersama mangsa ribut penduduk Flat Taman Johor Jaya yang kini ditempatkan di PPS dewan Johor Jaya pagi tadi.


“Dalam meringankan beban mereka, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap 22 keluarga yang terlibat. Satu jawatankuasa juga telah dibentuk bagi menyelaraskan penempatan sementara dan proses pembaikian rumah yang terkesan. Jawatankuasa ini diketuai YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor.

“Kerajaan Negeri akan berusaha agar kerja baik pulih disiapkan dan berdoa agar kesemua mangsa akan dapat pulang secepat mungkin ke kediaman masing-masing dengan selamat.Terima Kasih juga kepada semua pihak yang sudi membantu,” kata Onn menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Onn Hafiz melawat mangsa ribut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.

Lawatan itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail; Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd. Noorazam Osman dan ADUN Permas, Baharuddin Mohamad Taib.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Ros Merah, Mohd Fauzi Mokhtar berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan nasib mereka.

Katanya, bantuan itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban dan kesedihan yang dialami keluarga yang terjejas.

Dalam insiden ribut dan angin kencang semalam, bumbung enam daripada 10 blok Flat Ros Merah diterbangkan angin menyebabkan kebanyakan rumah penduduk di tingkat empat flat terbabit banjir dan rosak. – MalaysiaGazette