Empangan Sultan Abu Bakar yang dikendalikan oleh TNB Genco di Cameron Highlands, Pahang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak RM40 juta terpaksa dibelanjakan oleh anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) untuk kos penyelenggaraan membaiki mesin janakuasa stesen-stesen elektrik termasuk pembersihan empangan di Cameron Highlands, setiap tahun.

Perbelanjaan berkenaan mencatatkan jumlah yang terbesar berbanding kos-kos berkaitan di stesen janakuasa dan empangan di negeri-negeri lain ekoran masalah sampah domestik yang teruk.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB Genco, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, kerja-kerja pembersihan empangan merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi syarikat utiliti itu bagi memastikan empangan-empangan TNB sentiasa berada dalam keadaan terbaik sebelum penjanaan kuasa hidroelektrik berjalan dengan lancar.

“Cabaran yang paling besar di sini adalah dari segi bahan-bahan buangan atau sedimen yang masuk ke dalam tasik. Setiap tahun kita terpaksa membuat satu perbelanjaan yang besar untuk memindahkan sedimen dan hasil-hasil lain termasuk sampah sarap dipindahkan ke tempat lain supaya kapasiti empangan sentiasa berada dalam tahap yang baik,” katanya kepada pemberita ketika program Lawatan Media Ke Stesen-stesen Janakuasa di Cameron Highlands (SSJCH), baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Stesen Janakuasa Cameron Highlands, Sa’aidan Abu Hasan dan pengurusan tertinggi TNB Genco.

Ir Roslan Abdul Rahman

Lawatan ke stesen-stesen TNB di kawasan berkenaan diadakan selama dua hari.

Rombongan media dibawa ke Muzium SSJCH; melawat ke Stesen Janakuasa Sultan Yussuf Jor Cameron Highlands; Empangan Sultan Abu Bakar; Empangan Susu dan Stesen Janakuasa Ulu Jelai.

Semasa lawatan, kumpulan media yang terlibat didedahkan tentang tugasan yang dilakukan oleh TNB Genco dalam mengurus dan mengendalikan loji tenaga domestik, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, operasi loji tenaga dan penyelenggaraan serta operasi terminal pukal kering.

Selain berfungsi sebagai penjanaan kuasa hidroelektrik, empangan-empangan berkenaan berperanan menjadi tebatan kawalan bajir semasa musim tengkujuh.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerja-kerja selenggaraan dan pembersihan perlu dilakukan dua kali seminggu untuk mengeluarkan lebih kurang dua tan sampah sarap.

“2 tan ini belum masuk lagi pasir yang berada di empangan yang juga perlu dikeluarkan. Jika kita tidak melakukan kerja-kerja senggaraan ini, tahap kapasiti empangan akan berkurangan dan ia akan memberikan kesan dari segi takungan air dan juga akan menyebabkan limpahan sekiranya tidak ditangani dengan betul,” tambah beliau.

Rutin kakitangan TNB Genco membersihkan empangan-empangan yang diselenggaranya di Cameron Highlands.

Selain masalah sampah domestik dan aliran masuk pasir di empangan-empangan stesen penjanaan kuasa hidroelektrik, TNB Genco turut berhadapan dengan cabaran lain termasuklah kejadian tanah runtuh dan pembuangan sisa hasil pertanian.

Roslan tidak menolak, kos perbelanjaan untuk kerja-kerja berkaitan bermungkinan akan meningkat sehingga 10 peratus setiap berdasarkan kenaikan pelbagai perbelanjaan pada waktu ini.

Meskipun sehingga kini, TNB Genco masih mampu menguruskan belanjawan untuk kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan namun beliau mempunyai hasrat yang tinggi untuk menurunkan perbelanjaan berkenaan.

Caranya hanya satu, pembuangan sampah dan masalah pasir masuk ke tasik dapat dikurangkan.

“Sekiranya kita dapat menghentikan aliran ke dalam tasik, dari segi bahan-bahan yang tidak kita ingini itu, kita boleh mengurangkan kos kita. Itu adalah matlamat kita sebenarnya,” kata Roslan lagi.

Untuk rekod, stesen hidroelektrik menyumbang kepada lebih kurang 10 peratus penjanaan tenaga di seluruh negara.-MalaysiaGazette