Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) hadir ketika menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Pertania, Hortikultur (MAHA) 2022 pada hari terakhir di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA'IM, 14 OGOS 2022.

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang menutup tirai hari ini berjaya mencapai lebih dari sasaran asal bagi jualan dan pengunjung.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selama 11 hari  berlangsung, lebih 1.4 juta pengunjung melibatkan pengunjung secara fizikal dan maya telah hadir ke MAHA 2022.

“MAHA kali ini juga telah mencatatkan jualan paling tertinggi iaitu lebih RM260 juta sejak ia dilaksanakan pada tahun 2006 dengan merangkumi jualan langsung, jualan dalam talian serta padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara.

“Sebanyak 22 segmen khusus ditampilkan untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai salah satu sektor yang berpotensi untuk diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana pendapatan.

“Apatah lagi, MAHA kali ini dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

“Selain itu, program yang dianjurkan ini menampilkan pelbagai inovasi moden dalam sektor agromakanan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) sekaligus menyuntik semangat keusahawanan khususnya dalam kalangan belia,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berucap ketika menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Pertania, Hortikultur (MAHA) 2022 pada hari terakhir di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan MAHA 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha (KSU) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Tambah Ronald, penganjuran MAHA kali ini juga telah memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil terutamanya untuk menjual produk mereka setelah sekian lama berdepan kesukaran dalam pemasaran akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan MAHA 2022 turut menyaksikan pemeteraian 33 perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai pelaburan lebih RM5.64 bilion.

“Perjanjian kerjasama ini melibatkan pebagai pihak terdiri daripada pengusaha antarabangsa dan pengusaha tempatan.

“Sehubungan itu, saya berharap agar segala bentuk kerjasama yang telah dimeterai dapat direalisasikan supaya ianya dapat dan terus menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette