Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA – Prosiding akhir rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan sabitan hukuman dan denda dana SRC International didengar oleh lima panel hakim diketuai Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain Tengku Maimun, hakim yang turut bersidang ialah Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.50 pagi turut membenarkan pasukan pembelaan Najib meminda usul bagi mengemukakan bukti baharu.

Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik memulakan hujah dengan mengemukakan bukti baharu bagi membatalkan semua sabitan terhadap Najib membabitkan RM42 juta dana SRC .

Hisyam memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan bimbang mungkin terdapat unsur berat sebelah sekiranya permohonan untuk meminda usul bagi mengemukakan bukti baharu tidak dibenarkan kerana terdapat isu dan mahkamah mempunyai kewajipan untuk memastikan keadilan diberikan kepada anak guamnya.

Tengku Maimun membenarkan permohonan pihak pembelaan meminda usul tersebut, prosiding sedang berlangsung dengan Hisyam mengemukan hujah berkaitan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika berkhidmat dengan  Maybank Group.

Najib mendakwa Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam Maybank Group yang mana beliau berperanan dalam pembentukan SRC selain memberikan pinjaman kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SRC adalah anak syarikat 1MDB namun kini ia adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Mohd Nazlan yang yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat kepada Hakim Mahkamah Rayuan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 ke atas Najib bagi pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC. – MalaysiaGazette