Datuk V. Sithambaram bercakap kepada media pada hari pertama prosiding rayuan akhir yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk V. Sithambaram mendakwa dakwaan adanya konflik kepentingan membabitkan hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berasas sama sekali.

Ia sebaliknya lebih kepada hear say sahaja, katanya.

Malah kata Sithambaram ketika prosiding pendengaran membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, permohonan untuk memasukkan bukti baharu berhubung peranan Mohd Nazlan sebagai peguam dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank tidak disokong dengan afidavit sewajarnya.

Dakwa Sithambaram lagi, ini juga merupakan percubaan terakhir Najib untuk memesongkan perjalanan kes dengan mendapatkan maklumat daripada saksi dinamakan dan tidak dinamakan.

Hujahnya lagi, dakwaan Najib berdasarkan alasan yang tidak mungkin dapat dipertahankan iaitu pinjaman berjumlah RM4.17 bilion diberikan Maybank kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Permohonan untuk memasukkan bukti baharu berhubung peranan dalam Kumpulan Maybank tidak disokong dengan afidavit sewajarnya.

“Mengapa pihak pembelaan tidak membangkitkan isu berkenaan ketika perbicaraan kes di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebaliknya ditimbulkan di saat rayuan akhir?

“Ini satu ekspedisi memancing bagi mendapatkan maklumat berhubung sejauh mana peranan Maybank dalam kes ini. Bukti keterangan tambahan itu bukan perkara baharu kerana pihak perayu sudah lama memperolehnya tetapi ia hanya dibangkitkan pada peringkat ini,” hujahnya di hadapan lima panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sithambaram berhujah pada prosiding rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kata Timbalan Pendakwa Raya itu lagi, permohonan sebenar Najib ialah bagi kesnya dibicarakan semula dan mengisytiharkan sabitan serta hukumannya batal dan tidak sah.

“Pasukan pembelaan tahu peranan Mohd Nazlan dalam Maybank dan peranan Bina Fikir Sdn Bhd dalam memberikan khidmat nasihat bagi penubuhan SRC tetapi mereka tidak bangkit ketika itu.

“Mengapa pilih saat-saat akhir? Mereka boleh sahaja membangkitkan perkara ini tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Mereka mengemukakannya sekarang dengan cara sebegini kerana kes tidak berpihak kepada mereka,” ujarnya.

Justeru itu, Sithambaram memohon supaya permohonan Najib memasukkan bukti baharu ditolak kerana ia tidak relevan dan tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Peguam Najib yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon untuk membalas hujahan responden sebelum panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memberikan keputusannya.

Sebelum itu, pada prosiding sebelah pagi, Hisyam berhujah memohon prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan.

Jelasnya, itu wajar memandangkan siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Prosiding bersambung pukul 9.30 pagi esok. – MalaysiaGazette