Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menafikan tuduhan bahawa parti itu membisu dalam isu yang membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tetapi bising terhadap isu yang melibatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, partinya tidak bekerja untuk menyebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas.

“Agak lucu apabila yang menyatakan bahawa Pas khususnya saya sendiri di Dewan Rakyat membisu dalam isu-isu yang melibatkan pimpinan Pakatan Harapan dan hanya bising dalam isu-isu yang boleh melibatkan pemimpin UMNO/BN.

“Pertama sekali perlu diingatkan bahawa Pas tidak bekerja untuk sebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas, apa yang dituntut ialah membawa kes-kes berkenaan ke siasatan yang adil, telus dan mempunyai punca kuasa yang jelas.

“Apabila ia didakwa di mahkamah, serahkan kepada mahkamah. Seseorang yang belum didapati bersalah tidak boleh dikatakan bersalah, itu prinsip,” jelas beliau.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, Ahmad Fadhli memberikan beberapa bukti bahawa Pas turut menegur pemimpin PH.

Menurutnya, beliau pernah membangkitkan isu mengenai pembelian banglo oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2020.

“Dan terbaru apabila Lim Guan Eng bangkit di Dewan Rakyat dua minggu lepas mempertikaikan kenyataan menteri agama dalam isu Octoberfest dan Bon Odori, saya juga bangkit mengajukan soalan tambahan dalam masa yang sama membantah fakta yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bagan tersebut.

“Ini belum mengambil kira perbahasan yang menyentuh isu-isu lain melibatkan pimpinan Pakatan Harapan dan juga perbahasan ahli-ahli Parlimen Pas yang lain di Dewan Rakyat yang sentiasa menyentuh isu-isu integriti,” katanya.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, mengenai isu melibatkan kapal tempur pesisir (LCS) Pas hanya meminta siasatan yang adil dilakukan.

Jika ada bukti penyelewengan maka pihak yang bertanggungjawab perlu didakwa di mahkamah.

“Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan Pas kononnya Pas turut sama memfitnah.

“Atau adakah kerana Pengerusi PAC ialah MP daripada DAP, maka secara sendirinya ia dianggap fitnah? Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil.

“Siasatlah dulu. Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 billion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?” kata Ahmad Fadhli.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, beliau hairan mengenai sikap pengikut-pengikut parti tertentu sangat ‘trigger’ dengan isu-isu yang melibatkan duit rakyat. – MalaysiaGazette