Home Nasional Pembinaan asrama warga asing : Suara penduduk Teluk Kumbar tidak dipedulikan?

Pembinaan asrama warga asing : Suara penduduk Teluk Kumbar tidak dipedulikan?

TELUK KUMBAR – Meskipun pelbagai bantahan dibuat penduduk setempat bagi memastikan cadangan pembinaan asrama yang akan menempatkan 25,000 warga asing dibatalkan namun dilihat tiada pihak yang mempedulikan suara rakyat itu.

Ia susulan kerja-kerja pembersihan lokasi bagi pembinaan asrama itu didakwa sudah mula dijalankan meskipun kebenaran daripada pihak perancangan bandar dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang belum diperoleh.

Lebih mengejutkan kawasan yang akan terjejas akibat pembinaan asrama warga asing itu merupakan kawasan sama yang terkesan sebelum ini dengan  projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Menurut nelayan, Ariffin Ali, 74, kedudukan komuniti nelayan dengan lokasi cadangan pembinaan asrama warga asing itu terletak kurang 50 meter sekali gus menimbulkan pelbagai kebimbangan dalam kalangan mereka.

Ariffin.

Jelas bekas pesara tentera itu, kawasan nelayan itu kini sudah dibelenggu isu kehadiran nelayan Rohingya yang mendakwa penduduk Bukit Malut dan bimbang kehadiran warga asing akan mengakibatkan kehidupan penduduk tempatan ibarat menumpang di negara lain.

“Sebelum ini kita dibelenggu isu PSR kini asrama warga asing pula di Teluk Kumbar. Memang kita sedia maklum mengenai perancangan pembinaan asrama itu tetapi sebagai penduduk asal memang kami tak setuju kerana ia memberi pelbagai impak negatif kepada penduduk dari segi sosial hidup, ekonomi serta kesihatan.

Penduduk mendakwa kewujudan segelintir warga asing kini sudah mengakibatkan bas kilang parkir di bahu jalan dan mereka bimbang bahu jalan di seluruh Teluk Kumbar, Pulau Pinang dipenuhi bas kilang sekiranya asrama warga asing dibina.

“Jika kawasan ini menjadi sebahagian penempatan mereka tidak mustahil perairan kita juga mereka akan kuasai pada masa depan sekali gus menyebabkan penduduk tempatan yang rata-rata nelayan hilang punca pendapatan.

“Memang sekarang pemaju akan kata mereka pastikan warga asing itu ikut peraturan tapi nanti bila dah ramai kita tak boleh kawal dan mereka ini semua jika ramai mesti tidak akan patuh pada peraturan negara kita,” katanya ketika ditemui di pemberita hari ini.

Komuniti nelayan bimbang rizab pantai turut akan ditambak untuk perancangan pembinaan asrama warga asing di sini.

Terdahulu, tiga asrama pekerja asing akan dibina di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar, dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar.

Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ hanya kira-kira 15,000.

Sementara itu, penduduk Taman Sahabat Indah, Zahari Zakaria, 64, berkata, mereka bimbang keselamatan penduduk terancam dengan lambakan warga asing berhampiran taman perumahan penduduk tempatan.

Jelasnya, kewujudan beberapa rumah sewa yang dihuni warga asing sudah memberikan kesan kepada penduduk ketika ini dan itu secara langsung menimbulkan ketakutan sekiranya mereka menguasai penuh kawasan ini.

Zahari.

“Budaya, agama dan cara hidup mereka berbeza dengan rakyat tempatan, kita bimbang jika jumlah mereka semakin ramai, pelbagai masalah lain akan timbul.

“Antara yang sering berlaku ialah pergaduhan, abai kebersihan dan beberapa keadaan lain yang bertentangan dengan norma kehidupan kita.

“Itu hanya sebahagian, bagaimana pula nanti jika asrama bagi 30,000 pekerja itu siap kelak? Sudah tentu keadaannya lebih buruk,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Regim DAP ni berani buat kat kawasan penduduk Melayu jaaa..cuba buat kat Jelutong kaa..kat Gurney kaa..yg ramai Cina…tak mungkin laa

Comments are closed.