Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Majlis Minum Petang Pengamal Media Wanita Malaysia (PERTAMA) di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM300, 000 kepada Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

Sumbangan diberikan bagi membantu persatuan tersebut melaksanakan program dan aktiviti melibatkan pembangunan dan kemahiran wartawan wanita di dalam negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita akur dengan jasa besar Pertama kepada pembangunan negara, saya faham banyak fungsinya, saya juga faham kiasan Sariha daripada mula tadi,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika Majlis Minum Petang PERTAMA di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Presiden Pertama, Sariha Mohd Ali.

Ismail Sabri berharap persatuan yang kini menginjak usia 51 tahun itu akan  membantu kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

Dalam masa yang sama beliau berharap agar Pertama  memainkan peranan menyebarkan fakta yang benar mengenai dasar dan impak ekonomi pada masa kini kepada rakyat.

Jelas Ismail, ini kerana terdapat cubaan untuk memburukkan kerajaan di bawah pentadbirannya.

“Ada yang kata kerajaan gagal, ekonomi merudum jadi melalui puan-puan berita yang benar disebarkan kepada rakyat.

“Saya difahamkan akan ada cubaan membuat flashmob untuk mengatakan ekonomi semakin teruk di bawah pemerintahan pemerintahan kerajaan. Bukan hanya itu, turut ada cubaan memburukkan media sosial juga dilakukan di media sosial,” tambahnya. – MalaysiaGazette