ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap satu video tular menunjukkan seorang kanak-kanak dipukul seorang wanita disyaki pengasuhnya di sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata,  lebih kurang pukul 4.56 petang pihaknya menerima aduan dari seorang wanita warga tempatan yang merupakan ibu mangsa.

Kata beliau, wanita berusia 33 tahun itu dalam aduannya mendakwa semasa berada di rumah beliau telah melihat satu video anak lelakinya yang berumur tiga tahun telah dipukul  guru tadikanya di Kepong.

“Siasatan lanjut mendapati semasa pengadu berada di rumah telah melihat satu hantaran video di laman media sosial Facebook berkenaan seorang wanita yang merupakan pengasuh di sebuah Tadika di Taman Megah Kepong telah melakukan penderaan ke atas seorang kanak-kanak.

“Dalam hantaran itu jelas menunjukkan kanak-kanak berkenaan menangis selepas dipukul dengan kasar menggunakan tangan dan dipaksa makan sesuatu sebelum pengadu mengesahkan bahawa kanak-kanak di dalam video tersebut merupakan anak lelakinya,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tambah Eng Lai, hasil semakan polis mengesahkan terdapat dua video telah tular di media sosial berkaitan kejadian tersebut.

Menurutnya, kedua-dua video tersebut berdurasi lima saat memaparkan rakaman seorang wanita dewasa bertindak memukul seorang kanak-kanak secara kasar menggunakan tangan.

Siasatan lanjut polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada bulan Mei lalu dan siasatan sedang dijalankan di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette