Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menyerahkan baju larian kepada duta Immigration Run 2022, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi pada Majlis Pra Pelancaran Program Larian Immigration Run 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak mempunyai kuasa menghalang wanita yang menunaikan umrah dengan memakai ihram lelaki ke Mekah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ia bebas untuk bergerak ke luar negara.

“Saya tidak boleh beri komen lanjut kerana ia berada di luar bidang kuasa JIM. Dia boleh pergi Mekah untuk tunai haji, umrah dan sebagainya. Imigresen tidak boleh menghalang jika ia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya selepas merasmikan Immigration Run 2022 di sini hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berucap pada Majlis Pra Pelancaran Program Larian Immigration Run 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

Jelasnya, senarai individu yang dilarang ke luar negara hanya berhak dikeluarkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan-badan tertentu seperti Bank Negara Malaysia.

Tambah Khairul, pihaknya turut mengesan banyak kes warga tempatan yang ke luar negara sehingga terlibat dalam penipuan sindiket Macau Scam namun bukan kuasa JIM menghalang pergerakan mereka.

Ujarnya, orang ramai harus peka dengan sindiket penipuan tersebut kerana tawaran yang diberikan pihak scammer sangat mudah dikesan seperti ganjaran yang tidak masuk akal.

“Jika ada yang menjadi mangsa scam, perkara itu di luar bidang kuasa Imigresen. PDRM sekarang banyak kongsi nasihat dalam laman sesawang bagi tips menghindari scammer. Jadi orang ramai boleh melawat laman itu untuk dapat pendedahan soal ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette