Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama peserta-peserta yang terlibat pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Kesihatan akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan itu berkata, ini kerana tempoh empat bulan dari sekarang memerlukan kepentingan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus.

Menurut beliau, penyediaan dokumen itu perlu mengambil kira hasil serta syor pelbagai kajian sistem kesihatan kerana ia melibatkan perubahan dasar.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, sebarang perubahan dasar memerlukan kertas putih dan dibincangkan secara menyeluruh. Sudah pasti ada perbezaan pendapat namun yang penting ada asas dasar dengan mengambil kira kedudukan semasa.

“Ketika ini, sistem kesihatan negara tidak dapat tampung lagi keperluan rakyat dan memerlukan satu sistem yang kalis masa depan,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OGOS 2022.

Semalam dalam ucaptamanya, Khairy berkata, Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada November sepatutnya merupakan pernyataan mengenai aspirasi kolektif rakyat tentang cara untuk menjadikan sistem kesihatan negara menjadi lebih mampan dan berdaya tahan menerusi pemikiran “menyeluruh kerajaan” dan “menyeluruh masyarakat”.

Beliau berkata pandemik Covid-19 telah mencetuskan keperluan untuk pembaharuan dalam penjagaan kesihatan yang sebelum ini tidak pernah berlaku yang memperlihatkan kebergantungan kesihatan, kewangan dan fabrik sosial yang berlaku begitu ketara.

Beliau memberitahu, untuk memastikan pelan pembaharuan itu sendiri adalah kebal masa depan dan secara kritikal akan tetap bertahan daripada menteri yang bertukar maka sokongan bipartisan untuk pembaharuan yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan juga penting.

Mengulas lanjut, Khairy juga melantik Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan yang terdiri daripada 13 pakar pelbagai bidang untuk menghulurkan bantuan mereka dalam mencabar dan memperhalusi keutamaan dasar yang dipengerusikan bersama oleh bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri S. Subramaniam dan Pengerusi Axiata Group Bhd., Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.

Jelas beliau, Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan turut dicadangkan untuk memantau, menasihati dan melaporkan secara bebas status pelaksanaan kepada kerajaan, Parlimen dan rakyat. – MalaysiaGazette