Simptom cacar monyet. Foto thewatchdog.news

LOS ANGELES – Kes cacar monyet di Amerika Syarikat (AS) terus meningkat melepasi 11,000 kes, menyebabkan media dan pakar-pakar menyalahkan pentadbiran Presiden Joe Biden yang didakwa gagal membendung virus itu.

Sebanyak 11,177 kes cacar monyet telah dilaporkan di seluruh negara setakat hari Jumaat lalu, menurut data terkini daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

New York merekodkan paling banyak kes, dengan jumlah 2,295, diikuti oleh California (1,945) dan Florida (1,085).

Setakat ini, AS merekodkan jumlah kes cacar monyet tertinggi di dunia.

Sejak CDC mengesahkan kes cacar monyet pertama di AS yang dialami seorang lelaki Massachusetts pada 18 Mei lalu, AS telah menyaksikan lonjakan kes yang berterusan.

Pakar kesihatan berkata, memandangkan kesesakan ujian di Amerika Syarikat, kes cacar monyet mungkin sangat kurang dikira.

Politico dalam laporannya berkata, tindak balas pentadbiran Biden dalam menangani virus ini menyebabkan penyakit tersebut terus tersebar di AS.

“Mungkin sudah terlambat untuk menghentikan cacar monyet daripada beredar di AS secara kekal,” kata laporan itu.

Pakar epidemiologi, pegawai kesihatan awam dan doktor memberi amaran bahawa kerajaan AS kesuntukan masa untuk menghentikan virus daripada merebak dalam populasi AS secara lebih meluas.

Cacar monyet merupakan satu lagi krisis kesihatan global yang didorong oleh pengabaian kerajaan AS, kata op-ed di laman web media Amerika Truthout.

Sekiranya kerajaan AS bertindak dan mengedarkan vaksin dengan segera kepada mereka yang paling berisiko, maka kemungkinan cacar monyet tidak akan menjadi krisis sedemikian, kata laporan itu.

Tiga bulan selepas wabak itu, Kerajaan AS akhirnya mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan pada 4 Ogos.

“Tetapi keputusan itu mungkin sudah terlambat,” kata laporan VOX, sebuah laman web berita dan pendapat Amerika. – Xinhua