Dimasukkan dalam statusnya MG ini blogger UMNO hanya kerana utamakan kenyataan balas Najib mengenai LCS.

ALAHAI Rafizi, mudah koyak juga mamat ni rupanya. Tak sangkalah orang yang pegang jawatan nombor dua dalam parti politik jiwanya mudah rabak.

Tak semena-mena portal online Malaysia Gazette (MG) dicop blogger UMNO. Disasarnya MG, dititipnya MG dan dibalun beramai-ramai bersama walaunnya.

Macam-macam kata nista dihamburkan kepada MG. MG ditempelkan di media sosial sebagai subjek untuk dibalun. Apa lagi, kaki balun adalah walaun berbayar, 1001 ayat buruklah dihadapkan kepada MG.

Bawah Kolong (BK) yakin dan percaya, dia tidak akan tuduh MG blogger UMNO kalau MG jadikan dia wira dan hero dalam isu LCS. Sebab dia yang mula-mula cetuskan isu ini. Dan itu yang dia nak.

Sebagaimana dia cabar Najib Razak debat, akhirnya bos dia yang sahut. Itu yang dia mahu dan sebolehnya, dalam isu LCS pun, biarlah kenyataan dia saja yang media layan, kenyataan pihak lain jangan dilayan. Kalau dilayan, nampaklah bodohnya.

Tapi apa yang berlaku, dalam isu LCS, kebanyakan media termasuk MG melaporkan kenyataan balas daripada Najib, kenyataan balas bekas Panglima TLDM, kenyataan penganalisis-penganalisis yang tidak memihak kepadanya, maka koyaklah.

Bila walaun tanya apa sebenarnya berlaku dan dia pula tak dapat jawab, maka MG dicopkan blogger UMNO. Mudah kan kerja. Itulah kerjanya.

BK dapat rasakan, kalaulah MG siar kenyataan dia setiap hari, dan paparkan muka babyface nya setiap hari atau setiap minggu, nescaya dia tak akan hilang akal untuk menuduh MG blogger UMNO.

Lagi satu, antara portal berita dengan blogger pun dia tak dapat bezakan. Dia main hentam saja, asalkan dapat redakan amarahnya kepada MG.

Ya, mungkin dia marah kepada MG sebab hampir setiap hari ada berita Najib, ada muka Najib. Tak ada kenyataan dia, tak ada muka dia.

Tapi, kalau rajin skrol, ada juga berita-berita dia, kenyataan-kenyataan dia yang MG pakai dan siarkan. Rasanya lebih 100 stori-stori dia dimuatnaik dalam portal MG sama ada stori secara semuka mahupun stori dipetik dari media sosial dia.

Tapi, itulah. Kalau hati dah tak berkenan, marah, tertempek 100 stori sekali pun mana nak nampak. Asyik nampak muka musuh saja walaupun hanya satu dua kenyataan yang tertempek depan muka.

BK kenal lama Rafizi ni. Cuma tak pernah berbual secara bersemuka. Mamat ni memang susah nak diajak berkawan, walaupun BK yang hanya orang media ada ramai kawan politik yang jauh lebih gah dan hebat daripadanya.

BK kenal Rafizi melalui program-program parti politik. BK pernah dengar ucapan-ucapannya di majlis-majlis perasmian. BK juga pernah dengar perbahasannya di Parlimen ketika dia ahli Parlimen suatu ketika dulu.

Selain itu, BK juga pernah baca kenyataan-kenyataannya. Tak ada yang boleh dimanfaatkan pun. Lebih lagi janjinya dalam kempen PRU. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, sebesar habuk janji pun tak ditunaikan.

Siapa tak kenal dengan raja formula ini. Semua formulanya ke laut. Kali ini nak buat formula baharu pula. Buatlah selagi boleh buat. Tetapi, nak khabarkan, sekali rakyat merasa dan terasa, mereka tak akan biarkan pisang berbuah dua kali lagi.

Berbalik kepada portal dan blogger. Kalaulah MG ni blogger UMNO, sudah tentu tidak ada tempat atau ruang untuk dia tumpamg publisiti. Mana ada blogger yang pro kepada sesebuah parti nak beri pubisiti percuma.

Tapi MG selalu siar kenyataan dia, beri dia ruang untuk berwawancara, temuramah dia tanpa sedikit pun wujud rasa prasangka terhadapnya. Sebagai orang media, kita profesional.

Kita tidak pilih bulu walaupun seseorang itu dari parti pembangkang mahupun parti kerajaan atau parti yang baharu ditubuh atau tidak ternama. Kita beri layanan sama rata.

Setakat ini, tidak ada pula pemimpin yang walaupun lebih 100 kali kita siarkan kenyataannya, tetapi apabila kita publishkan orang yang tidak sebulu dengannya, maka kita dicapkan blogger kepada sesebuah parti.

Takkan hari-hari MG nak siarkan berita dia, muka dia. Ramai lagi pemimpin politik, pemimpin NGO, ketua-ketua jabatan, menteri-menteri dan timbalan-timbalannya nak kenyataan mereka disiarkan. Takkan, nak sisihkan mereka, nak utamakan kenyataan mamat ini.

Kes macam itu pun dah koyak rabak. Tuduh MG blogger UMNO. Kalau MG ni blogger, tak hingin disiarnya kenyataan merapu kamu tu, tapi kita profesional dan kita pula sebuah portal berita, kita tak koyak macam dia. Jiwa kita kental. Kita jadi manusia yang matang, bukan separuh matang.

Sebab itu, kalau sebuat nama mamat ini, BK langsung tak hairan. Ibarat kata, sekilas ikan di air, dah tahu jantan betinanya.

Tak payahlah nak tunjuk jaguh dalam politik. Awak bukan sesiapa pun. Cukup berlawan dengan Isham Jalil saja. Dia tahu kamu tu siapa. Kalau rakyat, mungkin ramai tak tahu identiti kamu.

Bukanlah BK nak merendah-rendahkan dia, tetapi kalau menuduh tanpa usul periksa, kenalah buku dengan ruas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast