KUANTAN – Pemilik premis perniagaan di sekitar bandar raya Kuantan diingatkan bahawa notis kompaun maksimum sebanyak RM500 boleh dikeluarkan jika masih enggan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing selepas 18 Ogos ini.
Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas mendapati hanya 15 peratus dalam kalangan pemilik premis perniagaan di sekitar bandar raya yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang.
“MBK bukan suka-suka nak kenakan kompaun, tapi sudah diberi notis yang begitu panjang iaitu 25 Julai kita keluarkan notis, selepas tiga minggu kita buat pemantauan masih lagi tiada tindakan, kita bagi lagi notis tambahan tiga hari lagi,” katanya ketika ditemui di Kompleks MBK hari ini.
Bagi memastikan perkara ini dilaksanakan, katanya, MBK sekali lagi mengeluarkan notis peringatan berulang kepada premis perniagaan hari ini dan memberi tempoh selama tiga hari untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang di premis masing-masing.
“Saya harap perkara ini (tindakan kompaun) dapat dielakkan. Marilah kita sama-sama mengibarkan bendera dan inilah bumi Malaysia yang kita sayangi dan inilah tanah air tumpah darah tercinta,”katanya.
Selain itu, jelasnya, antara syarat yang jelas termaktub dalam lesen perniagaan ialah bendera yang perlu dinaikkan adalah bendera yang sempurna dan dalam keadaan baik.
“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang juga gagal mematuhi syarat iaitu masih lagi tidak mengalih atau menurunkan berndera-bendera yang koyak dan tidak diletak secara sempurna,”tambah Hamdan.
Dalam pada itu, menurut Hamdan, pihaknya telah memasang lebih 5,000 bendera di sekitar bandar, termasuk di laluan utama memasuki bandar dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 65 tahun ini.
“Pada masa sama, MBK juga telah meningkatkan pencahayaan dan keindahan bandar,” jelasnya Hamdan.
Beliau turut menyeru warga bandar raya dan pemilik premis perniagaan agar sama-sama mengindah dan menyemarakkan semangat patriotisme dengan memasang lampu-lampu pada waktu malam, agar memperlihat kemeriahan sambutan kemerdekaan pada tahun ini di sini.
“Jadi sebab itu, saya menyeru sangat kepada semua pihak yang sememangnya perlu menghayati dan sama-sama perlu menyertai sambutan dengan mengibarkan jalur gemilang, bendera negeri Pahang yang akan menunjukkan kita sama-sama bersemangat dan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan pada tahun ini,”
“Kita saban tahun meraikan Hari Kemerdekaan. Sepatutnya ini telah menjadi satu jati diri kita dan saya harap perkara ini bukan lagi baru, ia perkara tahunan dan wajib kita menyambut setiap tahun,” katanya. – MalaysiaGazette