Bekas Presiden Indonesia, Prof. Dr. Susilo Bambang Yudhoyono menyampaikan syarahan bertajuk 'Tidak mustahil wujudkan dunia yang lebih baik' pada Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-5 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan dunia yang berdepan dengan cabaran geopolitik, ekonomi dan perubahan iklim mungkin akan menjadi teruk jika ia tidak ditangani secara bersama.

Bekas Presiden Indonesia, Prof. Dr. Susilo Bambang Yudhoyono berkata, dunia kini memasuki era baru persaingan kuasa besar dan masyarakat antarabangsa berhadapan dengan pertembungan geopolitik yang semakin bahaya.

Mengelarkannya sebagai ‘kemelesetan geopolitik’, Bambang berkata, perang Rusia-Ukraine bukan sahaja telah memformalkan ‘kemelesetan geopolitik’ tetapi juga telah memasuki fasa baharu yang bahaya.

Peperangan yang telah berlanjutan berbulan-bulan lamanya itu boleh menyebabkan perang dunia ketiga jika masyarakat antarabangsa tidak mengambil sebarang langkah mendamaikan pihak yang bersengketa.

“Saya amat bimbang berhubung dengan peningkatan ketegangan yang meruncing permusuhan antara Ukraine dan Rusia.

“Nampaknya tiada kerjasama global untuk hentikan perang. Jika keadaan ini berterusan dan tiada kuasa luar yang boleh hentikan permusuhan yang sangat tajam dan ganas ini, saya bimbang akan membawa kepada perang dunia ketiga.

“Pada pandangan saya, dunia, dalam hal ini pemimpin dunia, harus mengambil berat dan lakukan sesuatu. Tidak bertindak akan meletakkan dunia kita dalam keadaan berbahaya,” katanya dalam Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-5 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Syarahan bertajuk ‘Tidak mustahil wujudkan dunia yang lebih baik’ dihadiri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir Pro-Canselor UKM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono dan Naib Canselor UKM Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyampaikan cenderahati kepada Bekas Presiden Indonesia, Prof. Dr. Susilo Bambang Yudhoyono selepas memberi syarahan bertajuk ‘Tidak mustahil wujudkan dunia yang lebih baik’ pada Syarahan Canselor Tunku Mukhirz Ke-5 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2022.

Bambang berkata, adalah terlalu naif sekiranya penduduk Asia Tenggara mengharapkan rantau ini tidak terkesan dengan konflik yang berlaku.

Menurutnya, kemelesetan geopolitik yang memuncak telah menimbulkan satu lagi cabaran untuk ASEAN tahun ini.

Kepentingan strategik ASEAN dengan gabungan 10 negara dan populasi lebih 662 juta, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak AS$3.2 trilion dan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia telah menarik persaingan kuasa besar ke rantau ini.

“Bagaimana ASEAN akan bertindak balas? Bagaimana kita menghalang atau sekurang-kurangnya meminimumkan persaingan kuasa besar di rantau kita?

“Bolehkah kita membawa mereka bekerjasama sekurang-kurangnya di Asia Tenggara? Bagaimana ASEAN boleh kekal di ‘kerusi pemandu’ untuk wilayah sendiri?

“Bagaimana kita boleh menggunakan pelbagai arkitek serantau untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kerjasama di Asia Tenggara dan seterusnya?” soal Sosilo.

Susilo Bambang Yudhoyono menyampaikan syarahan bertajuk ‘Tidak mustahil wujudkan dunia yang lebih baik’ pada Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-5 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2022.

Bekas presiden keenam Indonesia itu bagaimanapun berkata, beliau sentiasa percaya kepada ‘tidak mustahil untuk mewujudkan dunia yang lebih baik’.

Masyarakat perlu mencari jalan kehadapan dalam menghadapi cabaran tersebut dengan agenda ‘kerjasama geopolitik’.

Melalui ‘kerjasama geopolitik’ kuasa besar, sederhana dan kecil boleh berinteraksi atas dasar persamaan dan bukannya perbezaan.

Secara terbuka Bambang berkata, beliau tidak keberatan untuk melihat kuasa besar dan semua negara bersaing di Asia Tenggara selagi mereka bersaing untuk keamanan, kemajuan ekonomi dan kemakmuran bersama.

“Ini bermakna kami mengalu-alukan mereka bukan untuk menolak satu sama lain tetapi untuk bersaing di rantau kita dengan cara yang positif untuk menyebarkan ‘kuasa lembut’ mereka.

“Untuk melakukan lebih banyak perdagangan, lebih banyak pelaburan, lebih banyak pertukaran pendidikan, lebih banyak pelancongan dan banyak lagi pemindahan teknologi.

“Lebih banyak mereka melakukan ini, lebih banyak rantau kita akan mendapat manfaat, lebih banyak semua orang menang, dan semakin kita mempunyai keamanan yang tahan lama,” katanya.

Namun untuk mempromosikan kerjasama geopolitik semua pihak perlu menutup defisit amanah yang semakin meluas dan membangunkan kepercayaan strategik antara bangsa.

Tambah beliau, kepercayaan strategik tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi berkembang mengikut masa dan usaha yang melibatkan pelbagai proses yang banyak seperti mengadakan berpuluh-puluh pertemuan.

Daripada pengalaman bekerja secara bersama membawa kepada persefahaman yang melibatkan panjang proses memberi dan menerima dan perasaan muhibah yang berterusan.

Ia kemudiannya berkembang dengan kejayaan dalam mengurus atau menyelesaikan konflik yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Apabila kita mencapai apa yang dipanggil “kerjasama geopolitik’ ini, dunia yang lebih baik sememangnya mungkin,” kata Susilo.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast