Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu Dewan Negara bahawa projek kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diteruskan.

Beliau berkata, walaupun pelbagai pihak telah membangkitkan isu itu dan dibahaskan oleh semua peringkat namun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memutuskan enam kapal yang dalam proses pembinaan itu amat diperlukan.

“Pelan kita, TLDM sudah setuju LCS perlu diteruskan. Ini kehendak TLDM manakala isu-isu berkaitan dengan rasuah, mereka yang salah guna kuasa akan dibawa ke muka pengadilan, tidak terkecuali saya juga.

“Jika ada unsur melibatkan diri saya sendiri, saya terpaksa berdepan dengan keadilan yang mana mungkin saya orang pertama didakwa di mahkamah atau mungkin ada individu lain apabila siasatan SPRM selesai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul yang dibangkitkan 10 Senator mengenai projek LCS yang mencetuskan kontroversi dan imej negara pada kaca mata umum serta dunia.

Menurut Husammuddin, projek itu mesti diteruskan kerana ia terletak bawah Program Transformasi TLDM 15 to 5.

“Sebab itulah LCS mesti diteruskan kerana ia sebahagian daripada program berkenaan dan kalau nak dibangkitkan surat daripada mantan Panglima Tentera Laut (PTL) dahulu, surat jawab menjawab mantan PTL ketika itu juga, itu melibatkan dua Panglima TLDM. Saya tak tahu siapa yang salah, siapa yang betul.

“Tetapi siasatan sedang berjalan dan kita akan sampai ke tahap untuk mengetahui siapa betul-betul salah.

“Bagi saya, nak pastikan perancangan kita ke hadapan dapat membantu TLDM menerima kapal yang diperlukan di bawah Program Transformasi TLDM 15 to 5 dan menjaga kebajikan vendor yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kalau kerajaan membatalkan projek LCS, ramai vendor terpaksa gulung tikar.

“Sedangkan mereka ini tidak terlibat pun dan tidak menerima kesan daripada pembatalan itu. Saya juga akan bawa ke Kabinet cadangan Senator Dewan Negara agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan hasilnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Hishammuddin dengan wajah tenang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menjawab semua persoalan yang dibangkitkan 10 senator di Dewan Negara hari ini.

“Kebimbangan, cadangan mahu pun kritikan berkaitan dengan perolehan kapal LCS, saya akan jawab sebentar lagi tetapi hadirnya saya di sini (Dewan Negara) adalah untuk memikul tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan hari ini.

“Tidak terlintas di hati kecil saya, nak lari daripada mewarisi dosa orang lain, datangnya saya adalah daripada tanggungjawab yang saya pikul hari ini.

“Sebab itu, apa yang kita lakukan hari ini dan saya telah pun nyatakan kepada dewan ini tempoh hari, saya memberi fokus tanpa takut, segan dan silu bahawa pertamanya, sama ada projek ini perlu diteruskan.

“Apa pun daripada 10 pembahas hari ini tidak ada seorang pun mahu projek ini tidak diteruskan,” katanya.

Beliau juga menyatakan siapa yang salah tetap salah dan banyak yang telah membentangkan hujah hari ini bahawa pihak berkenaan tidak perlu takut atau bimbang.

Beliau memberitahu, keputusan jemaah Menteri dalam hal itu bukan suatu yang mudah kerana semua tahu isu berkenaan bukan sahaja membelenggukan kerajaan dan negara malah turut membelenggu kepimpinan kerajaan semasa Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan beberapa perdana menteri silih berganti.

“Tetapi hari ini kita sudah bawa ke Kabinet. Sekurang-kurangnya ada jalan ke hadapan dan keputusan jemaah Menteri pada 20 April 2022 adalah untuk meneruskan projek itu bersandarkan kepada dua perkara.

“Dua perkara itu ialah pertama, kehendak TLDM sendiri supaya projek LCS diteruskan dan kedua, kalau sekiranya hari ini TLDM kata kapal itu tidak sesuai dan mereka tak perlukannya, maka batal.

“Kita carilah siapa yang salah dan jumlah duit yang hilang atau ada kerugian, kita kena bawa mereka yang terlibat, yang menyeleweng, yang rasuah ke muka keadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette