Ismail Sabri Yaakob bertanya sesuatu kepada peniaga di MARA Digital Mall ketika melawat premis itu semalam.

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) diarah meneruskan projek Mara Digital bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera membabitkan diri sebagai usahawan teknologi maklumat (IT) yang kekal menjadi trend pasa masa ini dan akan datang.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa Mara Digital sudah diwujudkan, iaitu di Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Ipoh, Perak, selain beberapa lagi lokasi yang dikenal pasti termasuk Larkin, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan selepas pilihan raya umum ke-14 pada 2018, Mara Digital ditutup dan projek baharu tidak diteruskan.

“Mara Digital sangat dekat di hati saya. Saya yang wujudkan bagi membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang IT dan gajet sama ada menjual produk, membaiki (peralatan rosak) dan lain-lain,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Terdahulu, Ismail melakukan tinjauan mengejut di Mara Digital Kuala Lumpur yang turut disertai Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.

“Alhamdulillah dalam tinjauan, peniaga memaklumkan masih mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat, cuma (mereka) memerlukan sokongan daripada Mara seperti promosi, bantuan pinjaman, pengurangan kadar sewa dan lain-lain,” katanya.

Pembukaan Mara Digital sebagai pusat jualan peralatan telekomunikasi dan IT pada 2015 dicetuskan Ismail yang pada ketika itu menteri kemajuan luar bandar dan wilayah. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast