Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bercakap kepada media selepas Program Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) Sesi 2022 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Tindakan wanita yang mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki hanya mengundang fitnah kepada agama Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan menghina Islam itu tidak memberi sebarang kebaikan, apatah lagi ia ditularkan di media sosial dan menjadi tontonan umum.

“Ini juga hendak mempermainkan ibadah, benda kamu buat itu sunat, pergi umrah ini sunat, tapi jangan tunjuk viral benda begitu.

“Ini satu perkara yang menyakitkan hati orang dan memberikan fitnah kepada agama, tidak elok dan tiada untung,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khamis lalu, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di akaun Twitter milik, @Aliyameha itu menunjukkan individu terbabit sedang merakam dirinya di hadapan kaabah.

Hantaran video itu juga menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter, mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan, setakat ini tiada sebarang tindakan mahupun teguran yang diberikan Kerajaan Arab Saudi berhubung insiden itu.

“Setakat ini tiada, saya tak tahu, saya tiada maklumat, pihak Saudi pun tiada memberikan reaksi,” katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen untuk mengesan agensi pelancongan yang bertanggungjawab membawa wanita terbabit ke Tanah Suci.

“Setakat hari ini kita pun tidak tahu bagaimana individu berkenaan balik atau belum.

“Cuma pihak saya sendiri telah minta Imigresen dan KDN, jika betul individu berkenaan pergi dengan menipu identiti lain, diharap tindakan-tindakan tegas boleh diambil,” katanya. – MalaysiaGazette