PUTRAJAYA – Sesi sidang Parlimen dari 18 Julai hingga 4 Ogos lalu menjadi satu sejarah membanggakan apabila 25 Rang Undang-Undang (RUU) berjaya diluluskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua RUU yang diluluskan itu berkait rapat dengan kestabilan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat.
Katanya, ia juga melibatkan pelbagai aspek seperti kewangan, pertanian, industri makanan, sumber manusia, pelancongan, jenayah, kehakiman, pertahanan dan kepolisan.
“Antaranya undang-undang yang dianggap mempunyai kepentingan kepada semua rakyat dan negara seperti RUU Pindaan perlembagaan Larangan Ahli Bertukar Parti turut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Antara RUU diluluskan itu ialah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli; Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 di bawah Kementerian Dalam Negeri; dan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Seterusnya, Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di bawah Jabatan Perdana Menteri; Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; RUU Antigangguan Seksual 2021 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; dan Akta Racun (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Kesihatan.
Turut diluluskan ialah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Sumber Manusia; Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Sumber Manusia dan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 juga di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Selain RUU yang telah diluluskan, terdapat usul dibawa ke Dewan Rakyat. Sebanyak sembilan usul dibahas di Dewan Rakyat dan hanya satu sahaja telah dibahas di Dewan Negara iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara pada 27 Julai lalu.
“Ini selaras dengan peruntukan dalam akta itu sendiri dan semua RUU ini akan menjalani proses sewajarnya sebelum dikuatkuasakan melalui undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya. – MalaysiaGazette