Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR seramai 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Keputusan pengambilan secara tetap bagi pegawai pergigian dan farmasi telah dibuat pada pada 15 Ogos 2022, manakala bagi pegawai perubatan pula dibuat pada 16 Ogos 2022, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, pelantikan secara tetap ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan yang prihatin dengan keperluan sumber manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, antara kriteria pengambilan ini ialah prestasi semasa latihan siswazah/khidmat wajib, laporan penilaian prestasi tahunan (LNPT) dan juga penilaian semasa temu duga.

”Pegawai yang berjaya boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA mulai 29 Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selaras dengan tawaran pelantikan secara tetap ini, KKM akan membuka sistem e-placement (e-Housemen, e-Dentist dan e-Pharmacist) mulai pertengahan bulan September 2022 bagi membolehkan pegawai membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian.

Pemakluman mengenai tarikh sistem ini mula dibuka akan dikemukakan kepada pegawai satu minggu lebih awal menerusi e-mel.

Tarikh kuat kuasa untuk pegawai melapor diri bertugas pula ditetapkan pada 17 Oktober 2022.

Khairy berkata, pengambilan seramai 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi ini merupakan urusan pengambilan jawatan tetap yang terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak bagi jawatan-jawatan tersebut diperkenalkan pada tahun 2016.

Pengambilan jawatan tetap ini juga merupakan perjawatan tetap tambahan yang pertama kali dilaksanakan sejak tahun 2015.

Untuk rekod, sejak Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam mula dilaksanakan pada tahun 2015, tiada perjawatan baharu diluluskan melainkan dibuat secara tukar ganti (trade-off) dengan perjawatan kosong sedia ada.

Selain daripada perwujudan jawatan tetap tambahan pada tahun ini, kerajaan juga telah bersetuju untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi pada setiap tahun bermula tahun 2023 sehingga tahun 2025.

Kerajaan juga telah bersetuju sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM, setiap tahun mulai tahun hadapan, bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

”KKM ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah ditawarkan pelantikan tetap. KKM mengharapkan calon dapat membuat pemilihan penempatan dan menerima penempatan baharu dengan hati yang terbuka serta terus berkhidmat dengan penuh semangat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terus berjalan lancar,” ujarnya.

Bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap, perkhidmatan kontrak mereka masih diteruskan mengikut kontrak berkuat kuasa.

Mereka yang sedang berkhidmat di bawah khidmat wajib pula akan ditawarkan pelantikan semula secara kontrak selama dua tahun lagi selepas kontrak khidmat wajib tamat bagi tujuan kesinambungan perkhidmatan.

Selain itu, mereka juga berpeluang dilantik semula secara kontrak selama empat tahun lagi bagi mengikuti pengajian kepakaran.

Pegawai yang tidak dilantik secara tetap pada kali ini masih berpeluang untuk memohon semula dalam urusan pengambilan secara tetap pada tahun hadapan, kata Khairy. – MalaysiaGazette