Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua kiri) bertukar dokumen Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman (dua kanan) pada Majlis Menandatangani MoC antara PERKESO dan TERAJU di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) demi melaksanakan Program Social Synergy.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program berkenaan antara inisiatif pihaknya untuk membantu menyelesaikan masalah sosioekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela khususnya selepas pandemik Covid-19.

“Impak sosioekonomi akibat penularan pandemik ini telah sesungguhnya membuka mata kita, betapa perlindungan sosial di Malaysia masih berada di tahap yang minimum berbanding di negara maju yang lain.

“Sehubungan itu, sebagai peneraju dalam perlindungan sosial di negara ini, kami komited untuk memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia termasuklah golongan usahawan Bumiputera di bawah Teraju dapat dilindungi dengan skim-skim perlindungan dan program di bawah Perkeso,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pemeteraian MoC di Menara Perkeso, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Md Silmi Abd Rahman.

Pada majlis itu, Mohammed Azman mewakili Perkeso manakala Teraju diwakili Md Silmi.

Tambah Mohammed, kerjasama itu juga akan memberi pendedahan dan melatih anggota Teraju untuk menjadi seorang social security practitioners yang merangkumi aspek perlindungan sosial, malah turut meliputi aspek kebajikan, pekerjaan, kewangan dan perniagaan.

“Bukan itu sahaja, kerjasama ini akan saling melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak. Ia merangkumi bidang-bidang lain seperti perkongsian data, potensi perluasan jaringan sosial Perkeso di bawah ketiga-tiga akta yang ditadbir, intervensi pasaran buruh dan lain-lain perkara bermanfaat dari semasa ke semasa,” tambah beliau.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat lebih 300 rakan strategik yang telah menyertai gagasan Social Synergy yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan individu persendirian.

Katanya, Perkeso juga berhasrat untuk membantu mana-mana usahawan Bumiputera yang layak di bawah Teraju dengan program-program di bawah Bajet 2022, seperti Program JaminKerja-Insentif Penggajian dan SPS Padanan Caruman.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast