Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias diiringi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai mendengar sesuatu daripada warga asing yang ditahan semasa mengadakan Operasi Bersepadu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ada pemilik premis perniagaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan mengubah suai kedai kepada bilik-bilik untuk disewa kepada warga asing bagi mendapatkan keuntungan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemeriksaan dalam operasi pagi ini berjaya mengesan ada satu premis diubah suai untuk menempatkan lima bilik yang disewa puluhan warga asing yang dikenakan bayaran RM100 bagi setiap ‘kepala’ (individu) sebulan.

Perbuatan yang dikesan ini menjawab banyak aduan orang ramai yang kurang senang dengan kehadiran warga asing di pasar borong ini.

“Selain itu, dalam pemeriksaan yang dilakukan, pihak berkuasa menyita tiga premis serta barang jualan yang didapati dikendalikan oleh warga asing,” kata beliau pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Seramai 400 orang diperiksa oleh 401 pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam operasi berkenaan.

Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2022.

Jalaluddin memberi amaran keras terhadap pemilik premis perniagaan yang masih berdegil menyewakan premis kepada pihak ketiga demi mengaut keuntungan.

“Kita tanpa kompromi akan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik premis perniagaan yang dikesan memberi sewaan premis kepada warga asing serta pendatang asing tanpa izin sehingga wujud budaya monopoli perniagaan di sekitar pasar borong.

“Tindakan berat termasuk membatalkan lesen mereka serta-merta dan menyita barang jualan di premis akan dilaksanakan serta merta,” ujar beliau.

Tegasnya, operasi itu diadakan untuk membanteras penyalahgunaan dadah serta penyewaan premis perniagaan kepada warga asing yang diubahsuai sebagai tempat tinggal.

“Kita juga akan terus meningkatkan operasi di seluruh ibu kota bagi mengesan individu yang melanggar undang-undang sekali gus mengekang aktiviti haram secara menyeluruh,” kata beliau.-MalaysiaGazette