Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran SC, Salmah Bee Mohd Mydin (tengah), Dekan Fakulti Undang-undang UM, Profesor Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Ketua Fakulti Perniagaan Monash, Profesor Nafis Alam. selepas majlis MOU.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya dan Monash University Malaysia untuk bekerjasama dalam beberapa siri program ke arah memupuk pemahaman awal tentang prinsip, amalan dan isu tadbir urus korporat dalam kalangan belia.

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG) ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan segmen belia dan menerapkan pemahaman awal dan yang lebih baik tentang tadbir urus korporat.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerjasama ini bermatlamat memperkasa golongan muda dan keperluan untuk menyemai nilai integriti dan akauntabiliti awal dalam kalangan mereka. Kami berharap usaha bersama ini akan memberi impak berpanjangan dan positif kepada para belia.

Kerjasama ini akan membuka laluan kepada SC dalam penglibatan bersama pelajar dan ahli fakulti, antara lain, melalui syarahan jemputan yang melibatkan pengamal dan pakar industri CG yang bertujuan untuk meluaskan pendedahan pelajar kepada perbincangan dan perkembangan semasa berhubung tadbir urus korporat.

Peluang untuk penyelidikan bersama juga akan diterokai, yang hasilnya akan menyumbangkepada pembangunan dasar dan inisiatif strategik SC pada masa akan datang.

”Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SC dalam inisiatif ini untuk memupuk penghayatan prinsip tadbir urus korporat dan amalan terbaik yang berkaitan dalam kalangan pelajar. Kami berharap kerjasama ini akan mendorong pembangunan
pemimpin korporat masa depan yang mempunyai pandangan yang kukuh dalam tadbir urus korporat yang baik,” kata Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Matthew Nicholson berkata, ia komited terhadap pembangunan modal insan di Malaysia, melalui kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan, yang merupakan
matlamat yang dikongsi bersama. – MalaysiaGazette