Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan berkaitan satu dokumen yang telah tular dan didakwa kertas siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, SPRM perlu tampil untuk mengesah atau menafikan laporan tersebut yang menyatakan bahawa hakim tersebut telah melakukan kesalahan.

“Satu dokumen yang didakwa merupakan kertas siasatan tersebut yang dikatakan telah menjadi tular pada waktu ini. Kertas tersebut mendakwa ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.

“Memandangkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC telah menolak permohonan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak untuk memasukkan bukti dokumen bagi memeriksa percanggahan kepentingan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan memandangkan kertas siasatan sudah berada di pihak Jabatan Peguam Negara sejak tiga bulan lalu.

“UMNO berpandangan pihak SPRM perlu mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan terseut yang sudah tular,” kata Ahmad dalam satu kenyataan.

Malah, tegasnya, Jabatan Peguam Negara juga perlu mengumumkan sekiranya akan ada tindakan lanjut bagi kertas siasatan tersebut.

Pada 21 Mei lalu SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa kes membabitkan Mohd. Nazlan telah diselesaikan.

Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 18 Mei lalu.

“Intergiti institusi yang kita hormati perlu dilindungi dan UMNO amat berharap pihak SPRM dan pihak Jabatan Peguam Negara akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu ini dalam masa terdekat,” kata Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan diberitahu pengetahuan Mohd Nazlan mengenai penubuhan SRC International Sdn Bhd pada 2010, dikhuatiri boleh menyebabkan alasan penghakiman beliau terhadap Najib sebagai berat sebelah.

Ketua pasukan pembelaan Najib, Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahannya pada 15 Ogos berkata, Mohd Nazlan sebelum ini tidak pernah mendedahkan bahawa beliau pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Kumpulan Maybank antara 2006 hingga 2015.

Hisyam berhujah, bukti baharu tersebut, boleh memberi asas bahawa kepada mana-mana pihak yang rasional bahawa Mohd Nazlan yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan tidak dapat memberi kehakiman dengan minda yang objektif dan terbuka.

Permohonan meminda usul dan memasukkan bukti baharu itu didengarkan di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain itu, panel turut dibarisi Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak permohonan peguam Najib untuk memasukkan bukti-bukti baharu membabitkan Mohd. Nazlan dalam rayuan terakhirnya.-MalaysiaGazette