Profesor Badaruddin Mohamed menutup mukanya daripada dirakam pihak media di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini

SEBERANG PERAI – Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tiga tahun dan denda RM807,475 terhadap seorang bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan adik lelakinya selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes salah guna kedudukan pada 10 tahun lalu.

Hakim Hakim Zulhazmi Abdullah juga memerintahkan Profesor Badaruddin Mohamed, 56, dan Mustafa Kamal, 50, menjalani hukuman penjara tambahan antara sebulan hingga enam bulan mengikut pertuduhan jika gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pembelaan diwakili peguam, Shamsul Sulaiman gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir pembelaan manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri.

Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda susulan Shamsul mengemukakan rayuan untuk pihaknya menfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, mahkamah kemudian menetapkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000, menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan selesai.

Pada Oktober 2018, Badaruddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat adik kandungnya, MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempatnya bekerja.

Ia membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di George Town dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu mengiku Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama. – MalaysiaGazette