Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia , Abdul Halim Husin

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) menyokong penuh usaha kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang akan membawa Dasar Halal Negara ke pembentangan Belanjawan 2023.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, dasar tersebut merupakan langkah terbaik dalam memperkasakan ekonomi halal di negara ini.

Menurutnya, selepas pasca pandemik Covid-19, Dewan Melayu menjadi tempat rujukan dan kunjungan dan permintaan daripada Dewan-Dewan Perniagaan Negara Asing.

“Mereka bukan sahaja berbincang dan mempromosikan produk-produk halal, tetapi juga melibatkan kepakaran dalam menyediakan eko-sistem halal untuk negara mereka terutama bagi negara-negara bukan Islam.

“Justeru, Dewan Melayu mengesyorkan kepada kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 dapat mengambil kira input-input yang akan memperkasakan Dasar Halal Negara ini secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tiga aspek utama iaitu perusahaan mikro dan kecil, audit di negara pengeluar dan mengiktiraf Asia Halal Body antara yang boleh dilaksanakan.

“Perusahaan Mikro & Kecil (PMK) merangkumi lebih 76 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di Malaysia dan menyumbang lebih 34 peratus GDP negara.

“Tetapi, mereka ini tidak memperolehi Persijilan Halal disebabkan keperluan lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jadi, terdapat keperluan penyelarasan di peringkat Jakim dan PBT mempermudahkan keperluan ini untuk persijilan Halal dengan JAKIM dengan penetapan prosedur mudah bagi membantu usahawan PMK ini,” jelasnya.

Abdul Halim berkata lagi, JAKIM seharusnya membuat audit secara terus di negara pengeluar berbanding melalui Badan Pengiktirafan Halal, negara berkenaan.

“Ini kerana, isu pematuhan proses bahan mentah dan/atau penyembelihan yang meragukan turut ditemui seperti beberapa kes yang berlaku di Australia.

“Ini dapat diterjemahkan melalui tindakan segera dengan menawarkan kepakaran dalam bidang persijilan ini dengan mengadakan keperluan syarat untuk mengambil Halal Executive (HE) yang berasal daripada Malaysia (rakyat Malaysia).

“Dengan itu, kita dapat meningkatkan peluang pekerjaan HE di luar negara di samping dapat memantau proses Halal di kilang-kilang tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi melalui cara ini, logo halal JAKIM dapat ditingkatkan dan dijamin mutunya.

Tidak hanya itu, Dewan Melayu yang menekankan aspek pengiktirafan Asia Halal Body berharap cara ini dapat membantu industri di Malaysia membeli bahan mentah dalam kalangan negara Asia walaupun kilang tersebut mempunyai sijil halal dari negara lain.

“Ini dapat mengelakkan langkah penipuan jaminan Halal, contohnya kilang di Vietnam, tetapi sijil halal adalah dari China.

“Potensi Ekonomi Halal dengan Jaminan Persijilan Halal Jakim jika dikembangkan ke luar negara secara menyeluruh (ekspot perkhidmatan dan pengkhidmat) boleh mencecah nilai dagangan sebanyak USD1.3 trilion.

“Ini perlu dimanfaatkan segera, bahkan dalam Halatuju Tindakan Pembangunan Bumiputera(TPB) 2030 telah menyasarkan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama  (KEGA) dalam Hab Halal dan Makanan dengan menjana nilai (Gross Operating Surplus (GOS) RM11.75 bilion dengan memberikan ruang pekerjaan langsung sebanyak 10,924 orang,” katanya. – MalaysiaGazette