Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menamatkan perkhidmatan barisan peguam baharu yang dilantiknya bulan lepas iaitu firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

Barisan peguam itu telah dilantik oleh Najib untuk membelanya dalam prosiding rayuan akhir berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya membabitkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sebentar tadi, ketika prosiding bermula, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik di hadapan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan memaklumkan perkara tersebut.

Panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kemudian meminta pendakwaan menyambung hujahan akhir yang sepatutnya bersambung pagi oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram.

Untuk makluman, semalam sejurus selepas mahkamah enggan membenarkan sebarang penangguhan masa kepada pasukan peguam baharu Najib, Hisyam memohon menarik diri mewakili Ahli Parlimen Pekan itu.

Ketika ini, Hisyam dan dua peguam dipercayai daripada firmanya, Tetuan Hisyam Teh berada di dalam mahkamah manakala dari ZIST manakala Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam tidak kelihatan.

Sebelum itu, Najib menamatkan perkhidmatan firma guaman Tetuan Shafee & Co, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya pada 25 Julai lepas sebelum melantik ZIST.

Selain ZIST, Hisyam pula dilantik bagi menggantikan Muhammad Shafee.

Ketika ini, prosiding bersambung di hadapan Tun Maimun dan empat lagi panel iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. – MalaysiaGazette