Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusoff bercakap kepada media megenenai berkaitan mohon kerajaan tidak menghentikan projek yang sedang dan akan dimulakan ketika di KCJ Engineering Sdn. Bhd, Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) memohon jasa baik kerajaan agar menyegerakan Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) kepada kontraktor.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, sejak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Julai lalu namun sehingga kini kontraktor terlibat belum menerima sebarang bayaran.

Tegas beliau, jika kelewatan bayaran VOP berterusan, beliau tidak menolak kemungkinan ia memberi kesan kepada projek yang sedang dalam pelaksanaan, sekali gus menyaksikan ramai gulung tikar.

“Kita sedia maklum Perdana Menteri telah pun mengumumkan VOP pada Julai lalu. Terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri kerana menambah item daripada empat kepada 15 untuk VOP bagi bahan binaan ini.

“Tetapi kita memohon jasa baik kerajaan untuk segerakan pelaksanaan VOP ini. Kita dimaklumkan oleh industri pembinaan sehingga kini belum ada lagi bayaran yang dibuat oleh kerajaan untuk tuntutan VOP.

“Ini akan mengakibatkan kontraktor akan berkesan dalam operasi mereka yang dalam pelaksanaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Jelutong hari ini.

Beliau berkata, sebelum dan ketika ini kontraktor berdepan dengan kenaikan harga bahan binaan yang agak ketara.

Katanya, simen dan besi contohnya, merupakan bahan utama yang memberi kesan besar kepada kontraktor, lebih lagi mereka belum menerima bayaran VOP daripada kerajaan.

“Harga besi sekarang sudah mula menunjukkan trend penurunan, tetapi simen dan beberapa bahan lain masih lagi di paras harga yang tinggi.

“Apabila kerajaan umum bersetuju untuk perkenalkan VOP, kita mohon kerajaan segerakan proses bayaran itu.

“PKBM telah dipanggil oleh JKR untuk berbincang bagaimana hendak melaksanakan VOP ini, tetapi hingga kini masih di peringkat perbincangan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast